60 kes Covid-19 baharu dilaporkan hari ini


Ragananthini Vethasalam

Jumlah pemulihan pesakit Covid-19 di Malaysia pada kadar 82% daripada semua kes jangkitan. – Gambar The Malaysian Insight, 24 Mei, 2020.

JANGKITAN kes baharu Covid-19 hari ini sebanyak 60, hampir sekali ganda berbanding jumlah yang pulih, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan negara sebanyak 7,245.

Seramai 33 pesakit pulih dan dibenarkan keluar hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan pemulihan kepada 5,945, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di Facebook.

Tiada kematian dilaporkan dan jumlah keseluruhan kematian adalah 115 orang.

Daripada 60 kes baharu, tujuh kes import melibatkan pesakit yang dijangkiti koronavirus ketika berada di luar negara.

Selebihnya, 53 kes adalah jangkitan tempatan dengan 44 melibatkan warga asing, termasuk 27 yang dikesan di pusat tahanan imigresen di Semenyih dan Sepang. 

Daripada jumlah keseluruhan jangkitan, sebanyak 1,185 adalah kes aktif.

Bagi kes aktif, sembilan berada di Unit Rawatan Rapi dengan empat daripadanya diintubasi.

Jumlah pemulihan menunjukkan kadar pemulihan pada 82% daripada semua jangkitan. – 24 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen