Bekas pemimpin PKR dilantik pengerusi Finas ganti Hans Isaac


Zakaria adalah pemimpin PKR Kuala Bera yang lantang menyokong bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali sebelum beliau dipecat keahlian kerana didakwa terlibat dalam skandal menawarkan projek Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Kerja Raya. – Gambar ihsan YouTube, 23 mei, 2020.

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengumumkan pelantikan bekas pemimpin PKR Terengganu, Zakaria Abdul Hamid sebagai pengerusi baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), menggantikan pelakon dan penerbit filem Hans Isaac.

Dalam kenyataannya, KKMM turut berkata bahawa Norman Abdul Halim dari KRU Studios dilantik sebagai timbalan pengerusi bagi perbadanan itu. Beliau menggantikan Affendy Ali Dally, seorang eksekutif Media Prima.

“Zakaria Abdul Hamid merupakan ahli perniagaan dan aktivis masyarakat. Beliau mempunyai Sarjana Perancangan Bandar dari California State University, Amerika Syarikat.

“Norman Abdul Halim mempunyai pengalaman yang luas dalam industri media dan hiburan di peringkat tempatan dan antarabangsa,” kata kenyataan tersebut.

Finas yang merupakan agensi kerajaan bertujuan membangunkan industri perfileman negara. Lantikan Zakaria bagi mengemudi Finas berkuatkuasa pada 23 Mei 2020.

Tempoh kontrak lantikan beliau adalah selama dua tahun daripada tarikh tersebut. 

Zakaria adalah pemimpin PKR Kuala Bera yang lantang menyokong bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali sebelum beliau dipecat keahlian kerana didakwa terlibat dalam skandal menawarkan projek Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Kerja Raya.

Ia dilakukan bagi meraih sokongan dan undi dalam pemilihan PKR pada 2018.

Bagaimanapun, Zakaria menafikan sebarang salah laku berkenaan projek tersebut. – 23 Mei 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen