3 kes baharu Covid-19 di Thailand, tiada kematian 


Petugas kesihatan Thailand mengambil suhu badan seorang lelaki sebagai langkah mencegah penularan Covid-19 di Bangkok.– Gambar EPA, 23 Mei, 2020.

THAILAND merekodkan tiga kes baharu Covid-19 dan tiada kematian dalam 24 jam lepas, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada  3,040 dan jumlah kematian kekal 56 orang.

Pembantu Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA), Dr Panprapa Yongtrakul berkata tiga kes baharu itu - dua rakyat Thai dalam kuarantin, seorang penuntut lelaki berusia 24 tahun yang pulang dari Mesir dan seorang wanita berusia 43 tahun yang merupakan ahli terapi spa yang tiba dari India serta seorang lelaki Itali berusia 49 tahun yang tinggal di Phuket.

“Selepas fasa pertama dan kedua pelonggaran sekatan, angka kes baharu kekal rendah.  Kami berharap rakyat akan terus bekerja sama menentang pandemik Covid-19 jadi kami boleh melonggarkan lagi sekatan dalam fasa seterusnya,”  kata beliau dalam taklimat harian Covid-19 hari ini.

Dalam tempoh 24 jam lepas, enam pesakit didiscaj daripada hospital menjadikan jumlah keseluruhan pesakit yang pulih dan pulang ke rumah kepada 2,916 sementara 68 lagi masih dirawat,” katanya.

Semalam, CCSA bersetuju untuk melanjutkan perintah darurat di negara itu sehingga 30 Jun, dengan kerajaan melakukan persiapan melonggarkan sekatan dan membuka semula lebih banyak tempat.

Mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha juga membincangkan kemungkinan memendekkan tempoh perintah berkurung pada sebelah malam, yang kini dilaksanakan dari pukul 11 malam sehingga 4 pagi.

Pelanjutan perintah darurat itu tertakluk kepada keputusan kabinet pada Selasa ini. – Bernama, 23 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen