Syarikat sewa kereta global Hertz gulung tikar di AS dan Kanada


Hertz telah memberhentikan 10,000 pekerja di Amerika Utara, atau 26.3% tenaga kerja globalnya demi menjimatkan wang selepas perintah berkurung melumpuhkan pelancongan dan ekonomi. – Gambar AFP, 23 Mei 2020.

SYARIKAT sewa kereta global Hertz menjadi korban ekonomi terbaru akibat wabak Covid-19 selepas ia mengumumkan muflis di AS dan Kanada selepas lebih dari satu abad dalam perniagaan.

“Kesan Covid-19 terhadap permintaan perjalanan sangat mengejut, menyebabkan pendapatan Syarikat dan tempahan menurun secara mendadak,” kata Hertz dalam sidang media.

Hertz mengatakan ia mengambil “tindakan segera” untuk mengutamakan kesihatan dan keselamatan para pekerja dan pelanggannya di samping membatalkan “semua perbelanjaan yang tidak penting”.

“Namun, ketidaktentuan masih ada dan bila pendapatan dapat diperoleh semula jika khidmat kereta sewa dibuka sepenuhnya,” katanya.

Kawasan operasi antarabangsanya, termasuk Eropah, Australia dan New Zealand, bagaimanapun tidak termasuk dalam pemfailan muflis di Amerika Syarikat.

Hertz telah memberhentikan 10,000 pekerja di Amerika Utara, atau 26.3% tenaga kerja globalnya demi menjimatkan wang selepas perintah berkurung melumpuhkan pelancongan dan ekonomi.

The Wall Street Journal melaporkan bahawa Hertz menanggung hutang kira-kira AS$19 bilion, di samping hampir 700,000 kenderaan terbiar ekoran pandemik.

“Penyusunan semula kewangan akan memberi jalan Hertz ke arah struktur kewangan yang lebih mantap bagi meletakkan kedudukan syarikat sebaik mungkin untuk masa depan kerana ia akan merancang perjalanan jangka panjang dan pemulihan ekonomi global secara keseluruhan,” kata kenyataan Hertz.

Lebih dari 1.6 juta orang telah dijangkiti dengan koronavirus di AS dan wabak itu telah membunuh lebih dari 96,000 orang. – AFP, 23 Mei 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen