Pegawai kanan kerajaan jalani kuarantin


Kesemua pegawai yang hadir pada mesyuarat Khamis lepas menjalani ujian saringan Covid-19 dan dikuarantin 14 hari.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2020.

BEBERAPA pegawai kanan kerajaan menjalani kuarantin sepanjang sambutan Hari Raya Aidilftri selepas mengadakan kontak rapat dengan seorang pegawai pada mesyuarat pasca-Kabinet Khamis lepas, yang kemudian disahkan positif Covid-19.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah menjalani ujian dan disahkan negatif selepas mengadakan kontak dengan pegawai yang sama, dan kini menjalani kuarantin selama 14 hari.

Mesyuarat berkenaan diadakan di Pejabat Perdana Menteri dan semua yang hadir diarahkan menjalani ujian dan kuarantin di rumah.

Mereka termasuk pegawai kanan daripada Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

Ketua Setiausaha Kerajaan Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Idrus Harun, Ketua Audit Nik Azman Nik Abdul Majid, yang turut hadir pada mesyuarat berkenaan juga menjalani kuarantin.

“Keputusan ujian saya negatif tetapi saya adalah kontak dan kini menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari,” kata Idrus kepada The Malaysiakini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki turut mengesahkan beliau antara yang hadir pada mesyuarat berkenaan.

“Saya telah jalani ujian saringan dan masih menunggu keputusan.

“Sebagaimana prosedur operasi standard, saya akan jalani kuarantin di rumah selama 14 hari,” katanya kepada The Star. – 23 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen