Kes jangkitan Covid-19 di Brazil ke-2 tertinggi di dunia


Angka kematian Brazil meningkat 1,001 dalam tempoh 24 jam, kali ketiga dalam empat hari dengan jumlahnya melebihi 1,000 orang. – Gambar EPA, 23 Mei, 2020.

BRAZIL mengatasi Rusia pada Jumaat sebagai negara dengan jumlah jangkitan koronavirus kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat (AS), ketika Amerika muncul sebagai pusat baru wabak tersebut.

Negara Amerika Selatan kini mencatatkan 330,890 jangkitan dan 21,048 kematian akibat koronavirus, walaupun pakar berkata angka sebenar mungkin 15 kali lebih tinggi atau lebih.

Angka kematian Brazil meningkat 1,001 dalam tempoh 24 jam, kali ketiga dalam empat hari jumlahnya melebihi 1,000 orang.

Lonjakan itu terjadi ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata Amerika Selatan sebagai “pusat baru” wabak tersebut.

“Jelas ada kebimbangan di kebanyakan negara tersebut, tetapi paling jelas yang terjejas adalah Brazil ketika ini,” kata Pengarah Kecemasan WHO, Mike Ryan.

AS melaporkan lebih 1.6 juta kes dan hampir 96,000 kematian, menurut perkiraan yang dibuat oleh Johns Hopkins University.

Rusia melaporkan 326,488 kes dan 3,200 kematian.

Angka kematian Brazil ketika ini adalah yang keenam tertinggi di dunia, di belakang AS, Britain, Itali, Sepanyol dan Perancis.

Tetapi krisis itu dijangka tidak akan memuncak di Brazil hingga Jun.

Negara yang berjumlah 210 juta penduduk ini tiada tindak balas berterusan terhadap wabak tersebut.

Presiden sayap kanan Jair Bolsonaro, yang terkenal membandingkan virus itu dengan “selesema kecil”, mengecam arahan tinggal di rumah yang dikenakan oleh pihak berkuasa negeri dan tempatan, dengan berkata ia tidak membahayakan ekonomi. – AFP, 23 Mei, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen