Pengguna lebuh raya PLUS kembali meningkat sewaktu PKPB


Hampir sejuta kenderaan menggunakan lebuh raya di bawah kendalian PLUS berbanding hanya 500,000 hingga 600,000 sehari semasa PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2020.

PENGGUNA lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kembali meningkat sewaktu perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei lepas berbanding ketika pelaksanaan PKP namun ia jauh lebih rendah daripada jumlah sebelum penguatkuasaan PKP. 

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata sebelum penguatkuasaan PKP pada 18 Mac lepas, kira-kira 1.7 juta pengguna direkodkan setiap hari dan apabila PKP dikuatkuasakan, jumlah pengguna lebuh raya hanya 500,000 hingga 600,000 sahaja sehari.

“Tapi bila PKPB diperkenalkan dengan beberapa industri dibenarkan untuk beroperasi, maka pengguna lebuh raya di Lebuhraya PLUS mencatatkan peningkatan,” katanya.

Beliau berkata semalam hampir sejuta kenderaan menggunakan lebuh raya di bawah kendalian syarikat itu.

Katanya peningkatan pengguna lebuh raya semasa pelaksanaan PKPB berbanding semasa PKP berikutan terdapat pergerakan ekonomi yang memerlukan penghantaran barang keperluan dari satu negeri ke negeri lain termasuk pekerja sektor tertentu yang perlu merentas negeri.

Yusuf berkata kesesakan yang berlaku di beberapa tempat di lebuh raya sejak beberapa hari lepas berikutan terdapat sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan terhadap PKPB dan bukannya akibat daripada peningkatan trafik.

Bernama difahamkan, rata-rata pengguna lebuh raya ketika ini merupakan petugas sektor tertentu yang perlu merentas negeri. – Bernama, 23 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen