Kerajaan gubal RUU Pelaksanaan Langkah Sementara kurangkan kesan Covid-19


Putrajaya akan menggubal RUU untuk mengurangkan kesan wabak Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Mei, 2020.

KERAJAAN akan menggubal Rang Undang- Undang Pelaksanaan Langkah Sementara sebagai usaha mengurangkan kesan Covid-19, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan.

RUU itu akan melibatkan beberapa pindaan di bawah akta tertentu dan semua kementerian sudah diminta mengenalpasti akta berkaitan untuk dibentangkan pada mesyuarat khas 28 Mei ini, kata menteri undang-undang itu lagi.

“RUU ini adalah komitmen kerajaan untuk meminimumkan impak penularan pandemik Covid-19 yang memberi kesan langsung ekonomi dan sosial kepada rakyat serta industri. Menerusinya, kerajaan yakin kesan pasca Covid-19 dapat ditangani dengan berkesan dan efisien.

“Semua kementerian telah diminta untuk mengenalpasti akta-akta yang perlu dipinda mengikut kementerian masing-masing dan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Penggubalan Rang Undang-Undang tersebut yang akan dipengerusikan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang),” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri akan bertindak sebagai penyelaras dan hasil perbincangan bersama agensi pelaksana termasuk organisasi masyarakat sivil dan badan bukan kerajaan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara bagi cadangan pembentangan di Parlimen pada Julai.

“Penggubalan RUU Pelaksanaan Langkah Sementara bagi mengurangkan kesan Covid-19 ini merupakan pelepasan sementara (temporary relief) bagi mengatasi (prevail) sebarang peruntukan yang tidak selaras dengan Akta berkaitan dalam tempoh ditetapkan (prescribed period).

“Oleh itu setiap cadangan untuk dimasukkan dalam RUU ini hendaklah berbangkit daripada kesan penularan wabak Covid-19 dan mempunyai impak terhadap perniagaan, firma termasuk PKS serta rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kelonggaran pergerakan bersyarat bagi membuka semula ekonomi yang ditutup sejak 18 Mac lalu kerana pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bagi mengekang wabak Covid-19.

Sepanjang tempoh pelaksanaan PKP, Malaysia kerugian RM63 bilion kerana semua aktiviti ekonomi kecuali yang dianggap penting ditutup. – 22 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen