Australia lanjut larangan berlabuh kapal persiaran hingga September


Australia pertama kali mengumumkan larangan berlabuh terhadap kapal persiaran antarabangsa pada 27 Mac yang menyaksikan watusan rakyatnya yang turun dari kapal kemudian didiagnosis dengan Covid-19. – Gambar AFP, 22 Mei, 2020.

AUSTRALIA pada Jumaat melanjutkan larangannya terhadap kebanyakan kapal persiaran antarabangsa selama tiga bulan hingga pertengahan September, tanpa menyebut pengecualian yang diharapkan bagi perjalanan ke negara jiran New Zealand.

Larangan itu termasuk kepada semua kapal persiaran yang membawa lebih 100 penumpang, kata Pasukan Sempadan Australia dalam satu kenyataan.

Ini adalah tamparan terbaru bagi industri pelayaran bernilai berbilion dolar, yang sudah sekian lama menghadapi larangan di negara dari Amerika Syarikat hingga Seychelles.

Australia pertama kali mengumumkan larangan kapal persiaran antarabangsa pada 27 Mac ketika hampir 30 kapal berada di perairan wilayahnya.

Ratusan warga Australia yang turun dari kapal kemudian didiagnosis dengan Covid-19.

Lebih 20 daripada 101 kematian berdaftar akibat penyakit itu terdiri daripada bekas penumpang.

Sebilangan besar kes dan kematian itu berkaitan dengan kapal Ruby Princess, yang tiba di Sydney pada akhir Mac.

Pengendalian kapal dan penumpangnya menjadi siasatan jenayah dan sivil peringkat tinggi.

Australia menutup sempadannya kepada bukan penduduk pada akhir Mac dan berkata warga asing akan tetap dilarang masuk ke negara itu pada masa akan datang.

Perdana Menteri Scott Morrison membangkitkan kemungkinan menawarkan pengecualian terhadap larangan tersebut bagi rakyat New Zealand, yang selama ini berhasil mengekang wabak koronavirus.

Bagaimanapun, pengumuman pada Jumaat oleh pasukan sempadan tidak menyebut pengecualian bagi kapal persiaran yang berlayar antara negara pulau berhampiran. – AFP, 22 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen