Kembali kepada asas untuk pulihkan ekonomi terjejas Covid-19, kata Daim


Daim Zainuddin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Ogos, 2019.

KEMBALI kepada asas dan anggap penyelarasan semula sepenuhnya diperlukan adalah jalan terbaik untuk pulih daripada kesan ekonomi susulan pandemik Covid-19, kata Daim Zainuddin.

Dalam wawancara dengan The Malaysian Reserve, bekas menteri kewangan itu berkata mungkin juga ia juga masa yang tepat bagi kerajaan menghidupkan kembali industri pertanian dan pengeluaran makanan.

Beliau menambah kesan Covid-19 sangat dahsyat, bukan hanya kehilangan nyawa tetapi juga kejatuhan ekonomi dan perniagaan yang menyebabkan kehilangan pekerjaan besar-besaran.

“Perniagaan yang memakan masa bertahun-tahun untuk naik tetapi runtuh dalam masa beberapa bulan, rakyat dari semua peringkat umur tiba-tiba mendapati mereka tidak mempunyai pendapatan,” kata Daim.

“Kita juga berdepan ancaman kekurangan makanan dan kebimbangan berkaitan dengan ketidakmampuan bahkan untuk memenuhi keperluan asas.

“Bagaimana kita menghadapinya? Saya rasa kita harus kembali kepada asas. Kita harus anggap perkara perlu dibina semula dari awal. Bagaimana anda mencipta pekerjaan untuk rakyat; dan bagaimana menyediakan latihan semula bagi mereka yang hilang kerja, dan apa jenis latihannya?” katanya seperti dipetik dalam wawancara itu.

Beliau menambahkan bukan semua industri terkena kesan negatif, menegaskan firma teknologi berkembang pada masa ini.

“Mungkin kita boleh melakukannya (industri pertanian dan makanan) lebih baik kali ini, mungkin dengan penggunaan teknologi dan robotik yang lebih hebat.

“Sekali lagi, ini mempengaruhi sistem pendidikan kita. Adakah kita perlu memberi penekanan kepada kajian pertanian dari peringkat lebih rendah dan menggabungkannya dengan kajian robotik dan kecerdasan buatan (AI)?

“Jelas, saya tidak dapat menjawab secara terperinci bagaimana kita menangani keadaan ekonomi ini. Tetapi saya boleh katakan kita perlu kembali kepada asas dan keutamaan,” kata pembantu kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Daim juga merupakan bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan yang dibentuk oleh Dr Mahathir selepas Pakatan Harapan berkuasa pada Mei 2018. – 22 Mei, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen