Jumlah kematian akibat koronavirus di Brazil lepasi angka 20,000 


Penunjuk perasaan mengambil bahagian dalam demonstrasi menentang pengasingan sosial di Sao Paulo, Brazil, 26 April, walaupun bilangan jangkitan dan kematian akibat Covid-19 naik mendadak. – Gambar EPA, 22 Mei, 2020.

JUMLAH kematian akibat koronavirus di Brazil melepasi 20,000 orang pada Khamis, selepas ia mencatat rekod dalam tempoh 24 jam, kata kementerian kesihatan.

Brazil menjadi pusat wabak di Amerika Latin, dan jumlah harian kematian tertinggi 1,188 menjadikan jumlah keseluruhan kepada 20,047.

Ia kini mencatatkan lebih 310,000 kes, dengan pakar berkata kekurangan ujian bermaksud angka sebenarnya mungkin jauh lebih tinggi.

Dengan graf jangkitan dan kematian meningkat mendadak, negara yang berjumlah 210 juta penduduk itu berada di kedudukan ketiga di dunia dari segi jumlah kes, selepas Amerika Syarikat dan Rusia.

Angka kematian - yang keenam tertinggi di dunia - meningkat dua kali ganda hanya dalam tempoh 11 hari, menurut data kementerian.

Walaupun penyakit itu merebak, presiden sayap kanan Jair Bolsonaro pada Khamis meneruskan seruannya untuk membatalkan langkah perintah pengurungan bagi menghidupkan kembali ekonomi negara itu.

Tetapi hampir semua 27 negeri di negara ini berada di bawah perintah pengurungan, walaupun rakyat Brazil sudah bosan dengan sekatan yang dilaksanakan sejak akhir Mac.

Negeri Sao Paulo, ibu kota ekonomi dan budaya Brazil, setakat ini adalah kawasan paling teruk terjejas, dengan kira-kira seperempat kematian dan jangkitan di negara ini.

Kesan virus itu semakin meningkat di Rio de Janeiro dalam beberapa hari lalu. – AFP, 22 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen