3 suspek bunuh kanak-kanak warga asing didakwa esok


TIGA suspek yang ditahan berhubung kes bunuh seorang kanak-kanak perempuan warga asing berusia enam tahun di depan sebuah pusat beli-belah di Jalan Memanda 3, Ampang akan didakwa esok.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Noor Azmi Yusoff berkata ketiga-tiga suspek yang merupakan ayah tiri, ibu serta nenek mangsa akan didakwa di Mahkamah Ampang pada 10 pagi.

“Suspek lelaki berumur 17 tahun akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh manakala suspek perempuan berumur 23 tahun akan dituduh di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak sementara seorang lagi suspek wanita berumur 63 tahun dibebaskan untuk dijadikan saksi pendakwaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 11 Mei lepas, mayat kanak-kanak perempuan warga asing ditemukan di depan kedai makan sebuah pusat beli-belah di Ampang dalam keadaan terbaring serta masih berpakaian lengkap.

Menerusi pemeriksaan ke atas badan mangsa mendapati, terdapat kesan lebam pada beberapa bahagian badan termasuk lengan dipercayai akibat dipukul.

Mangsa dipercayai dipukul ayah tirinya menggunakan objek tumpul kerana dikatakan enggan makan. – Bernama, 21 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen