Undang-undang liabiliti korporat berkuat kuasa 1 Jun, kata JPM


Menurut kenyataan itu pewartaan peruntukan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 pada 4 Mei 2018 telah menetapkan pelaksanaan Prinsip Liabiliti Korporat membabitkan organisasi komersial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2020.

KERAJAAN menetapkan pelaksanaan undang-undang Liabiliti Korporat kekal berkuat kuasa mulai 1 Jun ini setelah mengambil kira situasi semasa dan pandangan semua pihak.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan penetapan itu dapat menggalakkan organisasi komersial mengambil langkah bersesuaian dan selari bagi memastikan perniagaan dijalankan tidak terlibat dalam aktiviti rasuah untuk kepentingan mereka.

“Kerajaan komited dalam usaha memerangi rasuah, memperbaiki integriti dan melaksanakan urus tadbir yang baik.

“Tidak kira sama ada usaha itu dilaksanakan di peringkat jabatan kerajaan, sektor swasta mahupun dalam kalangan masyarakat sivil, usaha ini akan terus diberi keutamaan,”katanya.

Menurut kenyataan itu pewartaan peruntukan di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009 pada 4 Mei 2018 telah menetapkan pelaksanaan Prinsip Liabiliti Korporat membabitkan organisasi komersial.

Peruntukan itu menetapkan bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi organisasi komersial sekiranya mana-mana pekerja atau pihak bersekutunya melakukan perbuatan rasuah bagi faedah organisasi tersebut. – Bernama, 21 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen