Pasar Kajang tutup selepas 5 kes Covid-19 dikesan


Lima kes Covid-19 dikesan di Pasar Kajang menyebabkan ia ditutup selama lima hari. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Mei, 2020.

PASAR Kajang ditutup selama lima hari selepas lima peniaga disahkan dijangkiti Covid-19, kata exco negeri.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Hee Loy Sian berkata pasar akan ditutup sehingga 26 Mei.

“Tidak akan ada perintah kawalan pergerakan diperketat (PKPD) kerana jumlah terlibat kecil. Untuk PKPD kena ada sekurang-kurangnya 40 kes,” katanya pada sidang media di luar pasar, hari ini.

Katanya, tiga peniaga adalah warga tempatan dan dua lagi warga asing yang bekerja di pasar itu.

Tambahnya, Majlis Perbandaran Kajang sudah menjalankan saringan terhadap 261 peniaga pasar itu pada 18 Mei lalu.

“Kita sedang menunggu keputusan untuk 67 ujian,” katanya.

MPK juga sudah menjalankan proses nyah kuman di pasar itu pagi tadi.

Adun Kajang itu juga berkata Jabatan Kesihatan sedang berusaha menjejak kontak rapat lima peniaga itu.

Katanya, mereka yang terlibat diminta ke klinik kerajaan di Bangi, Semenyih dan Bandar Tun Hussein Onn untuk ujian.

Pasar Kajang adalah pasar terbesar di daerah Hulu Langat dan kekal dibuka sepanjang PKP bermula 18 Mac lalu.

Khabar angin wabak Covid-19 meledak di pasar itu bertiup kencang sejak semalam.

Pasar itu mula ditutup petang semalam, manakala jalan ke pasar dan dua barisan rumah kedai berhampiran juga ditutup untuk orang awam. – 21 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen