Pesara didakwa tendang penghantar makanan


SEORANG warga emas yang videonya tular di media sosial kerana menunjukkan isyarat lucah dan menendang seorang penghantar makanan wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini.

Pesara, Hii King, 61, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohamad Nasir.

Bagi pertuduhan pertama, Hii didakwa mendatangkan kecederaan dengan menendang Shazleen Shazmi, 26, di Bandar Puteri, Puchong di sini pada 4.10 petang 18 Mei lepas mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengganggu kesantunan wanita itu dengan menunjuk isyarat jari tengah di tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membaca hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid menawarkan jaminan RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu dan mendekati mangsa serta saksi pendakwaan manakala peguam Lim Tien Loong merayu jaminan rendah atas alasan anak guamnya seorang pesara dan menanggung tiga anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu dan mendekati mangsa serta saksi pendakwaan, sebelum menetapkan 16 Jun untuk sebutan semula kes. – Bernama, 21 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen