Kenapa nafi sedangkan Muhyiddin tak pernah dituduh, soal Dr Mahathir  


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, kenyataan PMO adalah sama dengan penafian yang Muhyiddin keluarkan iaitu beliau tiada niat untuk menjadi perdana menteri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2020.

DR Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan kenyataan daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan sebarang peranan Muhyiddin Yassin dalam keputusan untuk membenarkan Riza Aziz dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan pengubahan wang haram.

Dalam satu kenyataan ringkas di blognya, Dr Mahathir meluahkan rasa terkejut dengan kenyataan itu kerana sepanjang pengetahuannya, tiada siapa yang menuduh Muhyiddin ada peranan dalam keputusan itu.

“Saya hairan dengan kenyataan media PMO yang menjelaskan YAB perdana menteri tidak terlibat dengan melepas Riza Aziz.

“Setakat yang saya tahu tiada sesiapa pun yang menuduh perdana menteri,” kata bekas perdana menteri itu.

Riza didakwa atas lima pertuduhan menerima wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.08 bilion) yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) antara April 2011 dan November 2012.

Bagaimanapun kerajaan membuat perjanjian untuk menggugurkan pertuduhan ke atas Riza sekiranya aset yang didakwa dikaitkan dengan 1MDB dianggarkan sebanyak AS$107.3 juta (RM465.3 juta) dikembalikan.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, pada 14 Mei lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan permohonan pendakwaan untuk melepaskan tanpa membebaskan Riza.

Kenyataan PMO semalam menyebut: “YAB Perdana Menteri mengulangi pendiriannya untuk tidak mencampuri urusan Pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman dalam membuat apa-apa keputusan berkaitan kes-kes jenayah di negara ini termasuk kes-kes berprofil tinggi.”

Dr Mahathir berkata, kenyataan PMO adalah sama dengan penafian yang Muhyiddin keluarkan iaitu beliau tiada niat untuk menjadi perdana menteri.

“Tetapi akhirnya biar rosak parti asal dapat jadi perdana menteri,” kata Dr Mahathir.

Perjanjian Riza itu turut mencetuskan kontroversi selepas Peguam Negara Idrus Harun berkata, pendahulunya Tommy Thomas secara prinsip bersetuju dengan perjanjian berkenaan.

Thomas mengatakan bahawa dia tidak akan pernah membenarkan perjanjian itu.

Bekas peguam negara itu berkata, ia hanya akan mengkhianati kepercayaan perdana menteri dan kerajaan Pakatan Harapan sekiranya membenarkan perjanjian itu. – 20 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen