Keputusan akhir pendakwaan kes Isa Samad 16 Jun


KEPUTUSAN sama ada bekas Pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad akan dipanggil untuk membela diri atau dilepaskan daripada tuduhan pecah amanah dan rasuah berjumlah lebih RM3 juta, akan diketahui pada 16 Jun.

Tarikh tersebut ditetapkan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, dan peguam Salehuddin Saidin, yang mewakili Mohd Isa.

Pada 14 Januari lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas 15 hari perbicaraan, dengan 22 saksi dipanggil memberi keterangan.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa, 71, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta, bagi meluluskan pembelian sebuah hotel, Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB).

Beliau didakwa melakukan perbuatan pecah amanah di Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan menerima rasuah pula didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 15 Dis 2015.

Terdahulu, Afzainizam dalam hujahan lebih 600 muka surat berkata, elemen penting yang dikemukakan pihak pendakwaan adalah berhubung Mohd Isa yang menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi Felda melangkaui mandat pelaburan ditetapkan.

Beliau berkata Mohd Isa telah melangkaui mandat yang ditetapkan Felda, kerana setiap projek dikendalikan FICSB melebihi RM100 juta perlu mendapatkan kelulusan Lembaga Pengarah Felda, sekiranya ia tidak dipatuhi, keputusan yang dibuat dikira tidak memenuhi syarat.

Katanya, saksi pendakwaan ke-15, bekas Ketua Pegawai Eksekutif FICSB Mohd Zaid Abdul Jalil, ada menasihati tertuduh mengenai mandat tersebut, namun tertuduh memaklumkan kepadanya (Mohd Zaid) bahawa urusan berkenaan tidak perlu dibawa kepada Lembaga Pengarah Felda.

Ketika menjawab hujahan peguam yang menafikan Mohd Isa menerima duit-duit tersebut (RM3 juta), Afzainizam berkata, ia adalah suapan.

 “Tiada orang mahukan dikesan, jadi ini menjelaskan sembilan transaksi itu … tiada bukti penerimaan, tiada rekod, kesemuanya berdasarkan kepada kepercayaan. SP16 (bekas pengarah urusan Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd Ikhwan Zaidel) percaya kepada SP21 (bekas pegawai khas Mohd Isa, Muhammad Zahir Md Arip) sama seperti tertuduh mempercayai SP21… ini suatu yang penting kerana dia kena pastikan paling kurang orang tahu mengenai perkara ini… tiga orang sahaja tahu (mengenai suapan) iaitu tertuduh, Zahid dan SP16,” katanya.

Salehuddin pula berhujah Muhammad Zahid adalah saksi yang tidak berkredibiliti, kerana keterangannya mengenai bagaimana dia menerima duit daripada Ikhwan adalah tidak munasabah, selain tiada catatan dibuat apabila menerima wang tersebut.

“Jawapan dia juga ‘copy paste’ (jawapan yang sama ketika ditanya), kes ini amat menyedihkan kerana bersandarkan keterangan yang langsung tiada asas. Saya nyatakan pertuduhan ini hanya direka-reka,” katanya.

Salehuddin juga berkata ketika Muhammad Zahid memberi keterangannya di mahkamah, dia juga memaklumkan tiga tarikh penyerahan duit kepada Mohd Isa, yang berbeza dengan keterangannya di mahkamah dan semasa siasatan kes itu. – Bernama, 20 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen