48% jangkitan Covid-19 Malaysia adalah dari kluster tabligh, kata KP Kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Setakat ini, 40,613 sampel diambil daripada kluster tabligh yang bermula daripada perhimpunan di Masjid Seri Petaling pada Februari lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2020.

KIRA-kira 48% daripada jumlah kes Covid-19 di Malaysia adalah daripada kluster tabligh, selepas didapati 972 pesakit dalam pemantauan dikaitkan dengan kluster ini. 

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 3,347 kes adalah daripada kluster berkenaan, berbanding 2,375 yang diumumkan sebelum ini. 

“Ini bermakna kluster dan sub-kluster Sri Petaling kini menyumbang 48% daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia,” katanya. 

Pengklasifikasian semula data menunjukkan, 972 kes yang dikaitkan dengan kluster berkenaan kini berkembang ke generasi ke lima. 

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan pejabat kesihatan negeri dan daerah telah dapat mencari punca jangkitan pada kes-kes yang diteliti kerana tidak diketahui asal usul kluster dan sub-kluster yang ada.

Setakat ini, 40,613 sampel diambil daripada kluster berkenaan. 

Daripada 3,347 kes positif, 2,915 telah pulih manakala 33 maut akibat virus berkenaan. 

Malaysia setakat ini melaporkan 6,978 kes jangkitan. – 19 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen