Kakitangan, pelajar 1,000 sekolah tahfiz swasta digesa jalan ujian saringan 


Ragananthini Vethasalam

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini perlu dilakukan oleh 1,000 sekolah tahfiz swasta yang masih belum disaring.– Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2020.

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menulis surat kepada sekolah tahfiz swasta untuk menggesa guru, pekerja dan pelajar untuk tampil menjalankan ujian Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini perlu dilakukan oleh 1,000 sekolah tahfiz swasta yang masih belum disaring.

Menurutnya, apa yang mampu dilakukan oleh kementerian hanya merayu agar mereka tampil.

“Kementerian Kesihatan merayu agar mereka tampil untuk disaring dan menjalankan ujian. Ini sahaja yang mampu kita nasihatkan mereka,”  katanya pada sidang media harian situasi semasa Covid-19 hari ini.

Kira-kira 45% daripada semua kes Covid-19 di Malaysia adalah daripada kluster tabligh, yang bermula pada perhimpunan di Masjid Sri Petaling pada Februari lalu.

Setakat hari ini, hanya 370 sekolah tahfiz dan madrasah telah menjalani ujian. Kira-kira 14,293 sampe diambil daripada pelajar, guru dan kakitangan.

Daripada jumlah itu, 659 disahkan positif. – 19 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen