Warga Myanmar positif Covid-19 antara tahanan Imigresen sebelum PKP


Ragananthini Vethasalam

Seramai 437 warga asing yang dihantar pulang sebelum PKP tidak menjalani ujian Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Mei, 2020.

SEORANG pekerja asing warga Myanmar yang dihantar pulang ke negara asalnya dan diuji positif Covid-19 adalah antara yang ditahan di pusat tahanan Jabatan Imigresen sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Kementerian Kesihatan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kira-kira 1,400 warga asing ditahan sebelum PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu.

Daripada jumlah tersebut, 437 tahanan di asingkan di blok A.

“Mereka (437 tahanan) ini yang dihantar pulang dan ujian (saringan Covid-19) tidak dijalankan bagi kumpulan ini,” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Susulan itu, Dr Noor Hisham berkata ujian saringan ke atas 437 warga asing berkenaan akan dilakukan di negara masing-masing. Manakala baki tahanan yang belum dihantar pulang telahpun disaring, tambah beliau.

Ketua pengarah kesihatan itu cuma menyebut seorang ketika ditanya pemberita mengenai laporan The Irrawaddy bahawa lima daripada enam kes baharu Covid-19 di Myanmar sejak Sabtu lalu adalah pekerja asing yang dihantar pulang dari Malaysia.

Portal itu melaporkan kira-kira 400 pekerja Myanmar tanpa dokumen dihantar pulang dari Malaysia menaiki dua penerbangan sewa khas pada 11 Mei lalu. Mereka sebelum itu terkandas di pusat tahanan imigresen di seluruh negara selama berbulan-bulan sebelum dihantar pulang. β€“ 19 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen