India lanjut perintah pengurungan hingga 31 Mei


Langkah pengurungan kerajaan sejak akhir Mac dan menjejaskan golongan miskin di India, dengan jutaan pekerja migran kehilangan pekerjaan mereka. – Gambar EPA, 18 Mei, 2020.

INDIA melanjutkan langkah pengurungan koronavirusnya hingga akhir Mei pada Ahad ketika ia melaporkan lonjakan harian tertinggi kes positif, tetapi berkata beberapa sektor akan dibenarkan beroperasi.

Langkah pengurungan yang melibatkan 1.3 bilion penduduk dibuat sejak akhir Mac dan menjejaskan golongan miskin di India, dengan jutaan pekerja migran kehilangan pekerjaan mereka.

“Langkah pengurungan untuk membendung penyebaran Covid-19 akan berterusan sehingga sekurang-kurangnya 31 Mei,” kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan.

Sekolah, tempat ibadah, pusat membeli-belah, pawagam dan gimnasium harus ditutup, kata kementerian, dan larangan himpunan besar untuk acara keagamaan dan sukan akan dilanjutkan.

Perkhidmatan kereta api metro bandar dan perjalanan udara domestik serta antarabangsa akan kekal digantung, katanya. 

Perintah berkurung pada waktu malam yang menyekat pergerakan orang ramai, kecuali perkhidmatan penting, akan dilaksanakan antara jam 7 petang hingga 7 pagi.

Bagaimanapun, restoran diizinkan beroperasi untuk perkhidmatan bungkus. Kompleks sukan dan stadium dibenarkan mengadakan acara - tetapi tanpa penonton.

Bas dan kenderaan penumpang antara negeri dan dalam negeri dibenarkan beroperasi, tetapi dengan budi bicara pihak kerajaan negeri dan wilayah.

Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Nasional berkata sekatan itu akan diperbaharui “jika perlu, dengan memantau keperluan untuk membuka kegiatan ekonomi” dalam negara ekonomi ketiga terbesar di Asia ketika mengekang virus tersebut.

“India belum melihat Covid-19 yang terburuk, seperti di negara lain,” tulis Menteri Kesihatan Harsh Vardhan di Twitter, sambil menambah kerajaan negeri mempunyai fleksibiliti untuk melaksanakan langkah bersesuaian dengan penduduk tempatan. – AFP, 18 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen