Pengurusan kes bunuh Kevin Morais 18 Mei


MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur akan menetapkan tarikh baharu untuk mendengar penghujahan akhir pembelaan kes Timbalan Pendakwa Raya, Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemukan dalam dram berisi konkrit, lima tahun lalu.

Ini berikutan peguam Sheelan Arjunan, yang mewakili lima daripada enam tertuduh masih belum memfailkan hujahan bertulis anak guamnya iaitu R. Dinishwaran, A.K Thinesh Kumar, M. Vishwanath, S. Nimalan dan S. Ravi Chandaran.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya masih belum menerima hujahan bertulis daripada peguam Sheelan.

Bagaimanapun, Sheelan berkata hujahan bertulis itu masih belum difailkan berikutan anak guamnya perlu meneliti hujahan berkenaan terlebih dahulu.

“Pihak kami mempunyai kekangan untuk berjumpa dengan anak guam, yang kini berada di Penjara Sungai Buloh berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas. Oleh itu, mereka masih belum dapat meneliti hujahan yang telah kami sediakan,” katanya.

Peguam itu turut memberitahu mahkamah hujahan tersebut akan difailkan secepat mungkin selepas ia diteliti oleh anak guam pada tarikh pengurusan kes yang akan ditetapkan oleh mahkamah.

Hakim Azman Abdullah menetapkan 18 Mei ini untuk pengurusan kes itu dan pada hari berkenaan kesemua tertuduh akan dibawa ke mahkamah. Hari ini, kesemua tertuduh tidak hadir ke mahkamah selepas mereka dibenarkan untuk berbuat demikian.

Peguam N.Sivananthan mewakili seorang lagi tertuduh Kolonel Dr R.Kunaseegaran, pakar patologi.

Pada 20 November 2017, Hakim Azman memerintahkan supaya enam lelaki membela diri terhadap pertuduhan membunuh Morais selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Kunaseegaran, 57, pemberi pinjaman wang Ravichandran, 49, serta empat pengangur Dinishwaran, 28; Thinesh Kumar, 27; Vishwanath, 30; dan Nimalan, 27, dituduh membunuh Morais ketika dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, Kuala Lumpur ke nombor 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam pada 4 September 2015.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang dibaca bersama dengan Seksyen 34, dan berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kunaseegaran sebelum ini didakwa bersama dengan lima lelaki melakukan kesalahan itu pada tarikh, masa dan tempat yang sama, namun pada 15 Mei 2017, pertuduhan itu dipinda kepada mempunyai niat yang sama dengan lima lelaki berkenaan dalam pembunuhan Morais. – Bernama, 14 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen