Bicara kes bunuh CEO Cradle Fund diteruskan pada 15 dan 22 Mei


Pada 12 Mac 2019, isteri Allahyarham Nazrin, Samirah Muzaffar, 45, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh lelaki itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2020.

PERBICARAAN kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan, dijadual diteruskan pada 15 dan 22 Mei ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy’ari Kamaruzaman memberitahu Bernama, perbicaraan yang sebelum ini dijadual hari ini telah dilapangkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut beliau, pihaknya akan mengemukakan saksi pendakwaan yang baharu apabila perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Ab Karim Ab Rahman.

Setakat ini, sebanyak 19 saksi telah memberi keterangan dalam perbicaraan kes bunuh berprofil tinggi itu yang dimulakan pada 6 September tahun lepas.

Nazrin maut dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, Petaling Jaya pada 14 Jun 2018 yang pada mulanya dilaporkan berpunca daripada letupan telefon bimbitnya.

Namun, pada 3 Ogos tahun yang sama, kematian Nazrin diklasifikasi sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan pihak bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Pada 12 Mac 2019, isteri Allahyarham Nazrin, Samirah Muzaffar, 45, yang juga bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh lelaki itu. – Bernama, 8 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen