Kemelesetan ekonomi tetap berlaku walaupun PKP ditarik semula, kata pakar ekonomi


Ragananthini Vethasalam

LCD memaparkan langkah berjaga-jaga yang harus diambil oleh pengunjung Suria KLCC di Kuala Lumpur pada hari pertama PKPB pada 4 Mei lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2020.

SAMADA perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) untuk membenarkan pembukaan semula sebahagian besar sektor ekonomi dibuat “terlalu awal”, atau sebagai langkah tepat bagi permulaan ekonomi yang dimusnahkan oleh Covid-19, kemelesetan ekonomi semakin membimbangkan, kata pakar ekonomi.

Profesor Ekonomi Fakulti Perniagaan Sunway, Dr Yeah Kim Leng, berkata kemerosotan pasti berlaku susulan penutupan aktiviti ekonomi yang berpanjangan dan penurunan permintaan kebanyakan negara sebagai kesan wabak tersebut.

Kemelesetan didefinisikan dengan dua suku tahunan penguncupan ekonomi berturut-turut.

“Persoalannya adalah tahap keparahan, tempoh dan trasmisi mengejut penawaran dan permintaan melalui hubungan perdagangan dan pelaburan.

“Dalam kes Malaysia, kelonggaran PKP akan meringankan kerugian ekonomi dan membatasi kemungkinan penguncupan dua suku tahunan,” kata Yeah kepada The Malaysian Insight.

“Bergantung pada keberhasilan dalam menyekat penyebaran virus dan kecepatan pemulihan ekonomi di bahagian lain dunia, kita berdepan pertumbuhan beransur-ansur pada 2021.”

Beliau berkata ini ditambah dengan pelaksanaan tiga pakej rangsangan dan kelulusan awal yang cepat dan berkesan untuk hampir semua sektor dan perniagaan bermula semula, akan membantu mengurangkan kemelesetan.

Bagaimanapun, pemulihan ekonomi akan terancam sekiranya terdapat kebangkitan jangkitan koronavirus, tambahnya.

Seorang lagi pakar ekonomi berpendapat PKPB adalah mengejut dan satu kesilapan dasar.

Felo Kanan di Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Dr Shankaran Nambiar berkata, pembukaan semula sektor ekonomi seharusnya dilakukan secara berperingkat dan mengikut sasaran.

“Pembukaan semula ekonomi secara tiba-tiba adalah kesilapan dasar. Tidak dapat dinafikan ekonomi harus dibuka kembali kerana kita tidak akan hidup dalam lingkungan bebas virus dan kita tidak boleh terus di bawah pengurungan selama-lamanya.

“Tetapi ini seharusnya dilakukan secara bertahap dan bersasar.

“Tiada keraguan kita sedang menuju kemelesetan. Kemelesetan tidak dapat dielakkan kerana ekonomi global dalam kemusnahan,” katanya.

Shankaran berkata penting untuk mengembalikan keyakinan pengguna dan perniagaan dalam ekonomi.

Isi rumah yang masih takut dan cemas dengan keadaan kesihatan awam tidak akan menyumbang kepada pertumbuhan permintaan dalam negeri. – 7 Mei, 2020.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen