Mahkamah tidak halang media buat liputan kes anak Zahid, kata pendaftar


Nurulhidayah Ahmad Zahid dan pasangannya didenda masing-masing RM800 setelah mengaku bersalah atas tuduhan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2020.

WARTAWAN tidak disekat daripada membuat liputan prosiding kes terhadap anak presiden Umno Nurulhidayah Ahmad Zahid dan suaminya semalam, kata Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Apa yang berlaku ialah mahkamah berkenaan sesak sehingga orang awam diarah keluar bagi mengekalkan jarak sosial seperti prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, katanya.

“Mahkamah juga tidak sedar akan kehadiran pihak media yang membuat liputan pada hari tersebut. 

“Oleh itu tiada isu pihak media dihalang untuk membuat liputan,” pejabat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Ia juga menyebut mahkamah sentiasa memastikan akses kepada keadilan dilaksanakan kepada semua pihak termasuk pihak media.

Sementara itu, dalam satu kenyataan balas Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) Farah Marshita Abdul Patah berkata apa yang berlaku di mahkamah majistret itu bukanlah seperti yang dijelaskan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan.

Katanya, semasa kejadian, mahkamah terbuka tidak dipenuhi orang ramai dan petugas media, malah lima wartawan dibenarkan masuk pada awal prosiding.

“Petugas media kemudian diminta keluar bagi prosiding reman, namun, sebaik selesai reman dan mahkamah terbuka mula bersidang, petugas media tidak dibenarkan masuk semula ke dalam mahkamah terbuka,” katanya.

Mahkamah sebaliknya membenarkan rakan-rakan Nurulhidayah dan suaminya masuk ketika pertuduhan terhadap mereka dipanggil.

“Insiden ini jelas menunjukkan mahkamah sedar akan kehadiran petugas media, malah, setiap petugas media memakai tanda nama sebagai pengenalan diri,” kata Farah.

Awal hari ini, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJ) dalam satu kenyataan meminta pihak pentadbiran kehakiman menjelaskan tindakan Mahkamah Majistret Putrajaya semalam mengarahkan wartawan keluar dari mahkamah terbuka.

NUJ menyifatkan tindakan itu seolah-olah menunjukkan tiada kebebasan media di negara ini.

Semalam, kumpulan aktivis media bebas Gerakan Media Merdeka (Geramm) juga mempertikaikan tindakan tersebut.

Majistret Shah Wira Abdul Halim semalam menjatuhkan hukuman denda RM800 masing-masing ke atas Nurulhidayah dan suami Saiful Nizam Mohd Yusoff selepas mereka mengaku salah ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Hukuman itu bagaimanapun mencetuskan pelbagai komen sinis terhadap mereka di media sosial kerana lebih rendah daripada pesalah lain, yang dikenakan hukuman maksimum RM1,000.

Menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob yang ditanya hal itu berkata hukuman yang berbeza itu adalah urusan mahkamah dan kerajaan tidak campur tangan. – 6 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen