Hukuman denda pesalah PKP urusan mahkamah, kata Ismail Sabri


Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata kuasa menentukan hukuman terhadap pesalah yang ingkar perintah kawalan pergerakan adalah kuasa majistret. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Mei, 2020.

PUTRAJAYA tidak campur tangan dalam urusan mahkamah menentukan hukuman kepada pesalah yang ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP), kata menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob, ketika ada tanggapan wujud hukuman denda yang berbeza antara pesalah.

Katanya, undang-undang membenarkan hukuman denda kurang RM1,000 bagi kesalahan melanggar perintah kawalan pergerakan dan ia ditentukan oleh majistret yang mengendalikan kes.

“Dalam undang-undang hanya menyebut tidak melebihi RM1,000. Kuasa menentukan hukuman adalah kuasa majistret. Itu kuasa majistret. 

“Sebagai negara demokrasi, kerajaan tidak campur tangan. Ia terserah pada budi bicara mahkamah menentukan hukuman,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya, yang disiarkan melalui Facebook.

“Itu sebab hukuman berbeza… mungkin fakta kes berbeza, sehingga menyebabkan majistret menentukan keputusan sedemikian rupa,” tambahnya.

Ismail membuat ulasan itu selepas Mahkamah Majistret di Putrajaya menjatuhkan hukuman denda RM800 masing-masing ke atas Nurulhidayah Ahmad Zahid dan suami Saiful Nizam Mohd Yusoff, semalam.

Hukuman lebih rendah daripada pesalah lain itu, yang dikenakan hukuman maksimum RM1,000, mencetuskan pelbagai komen sinis terhadap mereka di media sosial.

Rata-rata komen menyifatkan hukuman itu tidak adil dan menganggapnya dipengaruhi oleh kedudukan Nurulhidayah sebagai anak presiden Umno, yang juga bekas timbalan perdana menteri. 

Mereka membangkitkan antaranya denda RM1,000 yang dikenakan oleh mahkamah sama sebelum ini ke atas sepasang kekasih pada 21 April lalu, seperti laporan Bernama.

Pada 21 April juga, seorang ibu tunggal B Lisa Christina dijatuhkan hukuman penjara 30 hari oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya kerana melanggar PKP. Hukuman itu bagaimana pun diganti dengan denda RM1,000 selepas semakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 29 April.

Media melaporkan Christina juga mempersoalkan keadilan hukuman ke atas anak perempuan Ahmad Zahid dan suaminya semalam, berbanding yang dikenakan ke atasnya sebelum ini,

“Adakah saya rakyat kelas kedua di negara ini? Kenapa ada dua standard? Saya mahukan penjelasan,” tulisnya,  dalam satu komen di Facebook yang sudah dipadamkan.

Minggu lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Muniandy Kannyappan mengingatkan mahkamah rendah supaya menimbangkan hukuman yang adil dan saksama kepada pesalah PKP, termasuk mengenakan hukuman alternatif jika perlu.

Beliau memberikan peringatan itu dalam alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Taiping mengurangkan hukuman denda RM1,000 ke atas dua lelaki yang ditahan kerana memancing semasa PKP.

Dalam kes itu, Chin Chee Wei dan Chong Poh Wah dihukum denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput selepas mengaku bersalah melanggar PKP pada 2 April dekat sebuah kolam ikan. 

Mereka bagaimanapun memilih dipenjarakan kerana tiada wang untuk membayar denda. – 6 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen