Pulau Pinang diisytihar zon hijau


Ragananthini Vethasalam

Pulau Pinang adalah negeri kelima selepas Perlis, Kedah, Kelantan dan Perak yang tidak melaporkan kes aktif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mei, 2020.

PULAU Pinang diisytihar zon hijau selepas tiada kes Covid-19 dilaporkan di semua lima daerah di negeri itu.

Ia menjadi negeri kelima selepas Perlis, Kedah, Kelantan dan Perak yang tidak melaporkan kes aktif.

Pulau Pinang mencatat jumlah kumulatif 121 kes.

Bagaimanapun, Petaling tersenarai semula ke dalam zon merah selepas kes aktif melonjak naik daripada 39 kepada 52 setakat tengah hari semalam.

Daerah di Selangor itu sering keluar masuk senarai zon merah berikutan turun naik jumlah kes aktif.

Setakat tengah hari semalam, sepuluh daerah tersenarai dalam zon merah, 80 di zon kuning dan manakala zon hijau 111.

Selepas dua hari berturut-turut merekod tiga digit kes positif Covid-19, jumlah kes baharu yang dilaporkan semalam turun kepada 55 kes.

Tujuh kes jangkitan baharu adalah kes import, manakala kes penularan tempatan sebanyak 48. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 dalam negara setakat ini ialah 6,353 kes.

Tiada kematian dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kematian akibat pandemik Covid-19 setakat ini 105. 

Sementara itu tiga kawasan di Kuala Lumpur diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selepas terdapat lonjakan kes Covid-19.

Kawasan berkenaan adalah sekitar Pasar Raja Bot atau lebih dikenali Pasar Chow Kit dan dua kawasan kediaman di Selayang iaitu Taman Wilayah dan Taman Desa Bakti. – 5 Mei, 2020.       


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen