Biennale KL 2017: Balai Seni Negara patut pupuk dialog


SAYA kesal tindakan kurator Biennale Kuala Lumpur 2017 yang mengeluarkan sebahagian karya Under Construction oleh kumpulan seniman Projek Sekitar Seni (PSS).

Tindakan ini dibuat atas nasihat polis Kuala Lumpur. Biennale ini, yang sedang berlangsung di Balai Seni Negara (BSN) memaparkan karya-karya seni oleh seniman tempatan dan antarabangsa.

Tindakan mengeluarkan karya PSS ini satu bentuk penapisan oleh BSN. Dengan membenarkan karya tersebut dikeluarkan daripada pameran, BSN gagal “memupuk kesedaran, kefahaman dan penghayatan terhadap seni kepada semua lapisan masyarakat”, seperti yang tertera dalam laman web BSN sendiri.

Dalam isu ini khususnya, BSN gagal memupuk kesedaran, kefahaman dan penghayatan terhadap seni yang dihasilkan PSS terutama dalam kalangan anggota polis KL, yang menentukan sendiri bahawa karya tersebut “tidak sesuai”.

Saya amat kesal ini bukan kali pertama tahun ini sebuah karya seni ditapis dan dikeluarkan dari pameran.

Pada Mac 2017, karya Sabah Tanah Air-Ku oleh Pangrok Sulap, sebuah kumpulan seniman dari Ranau, Sabah, yang juga dipamerkan di BSN diturunkan, kononnya selepas pihak penganjur menerima aduan pihak tertentu.

BSN perlu menghentikan budaya menapis terutama menjelang pembukaan sesebuah pameran, kerana ia melibatkan kos, masa dan nama baik seniman.

Oleh itu, saya menggesa BSN dan kurator Biennale Kuala Lumpur 2017 untuk memasukkan semula karya Under Construction, dan membenarkan debat dan perbincangan berkaitan karya ini untuk berjalan dengan menganjurkan satu forum bersama PSS, kurator, dan polis Kuala Lumpur.

Saya percaya dengan cara ini orang ramai akan dapat melihat karya tersebut serta mendengar pandangan pihak-pihak terbabit, dan seterusnya menentukan sendiri sama ada Under Construction itu “sesuai” ataupun tidak. – 24 November, 2017.

* Fahmi Fadzil ialah pengarah komunikasi PKR.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen