MTUC kecam gesaan ‘automasi’ Azmin


The Malaysian Insight

MTUC berkata desakan untuk syarikat fokus kepada automasi bagi mengurangkan tenaga kerja tidak sesuai pada masa ini susulan banyak pekerja berdepan risiko hilang kerja akibat kemuraman ekonomi dan pandemik Covid-19. – Gambar EPA, 3 Mei, 2020.

DESAKAN Putrajaya untuk syarikat menumpukan pada aspek automasi ketika krisis koronavirus adalah “tidak bertanggungjawab” dan “tidak kena pada masanya”, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), kerana ia akan memburukkan lagi isu penggangguran dalam negara.

Setiausaha MTUC J Solomon berkata desakan itu dibuat ketika ribuan pekerja sedang berdepan potongan gaji dan dipaksa bercuti tanpa gaji, sementara ribuan yang lain berisiko kehilangan kerja akibat kesan virus itu terhadap ekonomi.

Gesaan automasi itu dibuat oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali yang berkata automasi akan meringankan kesan ekonomi daripada Covid-19 kerana ia mengurangkan tenaga kerja sesebuah syarikat.

Pakar ekonomi dan persatuan majikan menganggarkan penutupan bagi hampir semua perniagaan akibat langkah kawalan pergerakan untuk membendung virus itu, boleh menyebabkan hampir dua juta pekerja hilang pekerjaan.

“Ia di luar pemahaman MTUC kenapa Azmin, seorang menteri kanan, mahu menambah lagi kesukaran pekerja, terutama pada ketika di mana kerajaan sepatutnya dilihat melakukan yang terbaik untuk menggalakkan majikan tidak mengabaikan kebajikan pekerja dalam berdepan cabaran ekonomi semasa,” kata Solomon dalam satu kenyataan.

“Dengan menggesa majikan menggiatkan automasi tanpa perancangan yang tidak akan menjejaskan pekerja, Azmin menambah risiko kepada masalah pengangguran Malaysia, bagi jangka pendek dan panjang.

“MTUC sudah menyaksikan bagaimana ribuan pekerja Malaysia dalam industri pembuatan dan perkhidmatan, merana kerana hilang kerja menerusi VSS dan pemberhentian kerja di bawah e-perbankan dan pendigitalan.”

Solomon berkata menteri itu sepatutnya fokus kepada mendapatkan kembali pekerjaan untuk pekerja terbabit dalam persekitaran yang selamat, bukannya bercakap tentang automasi.

MTUC juga menekankan ia bukannya menentang automasi dan sudah berulang kali berkata ia salah satu cara industri dalam Malaysia mengurangkan ketagihannya terhadap buruh warga asing yang murah gajinya.

Penggunaan pekerja warga asing menyebabkan gaji pekerja rakyat Malaysia rendah, kata Solomon. – 3 Mei, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen