Menteri saran bank lupus faedah terakru, keuntungan bagi moratorium pinjaman


Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz meminta bank dan institusi kewangan mempertimbangakn faedah terakru selepas mendengar keluhan rakyat. – Gambar Facebook, 2 Mei, 2020.

MENTERI Kewangan Tengku Zafrul Aziz menyarankan bank dan institusi kewangan melupuskan faedah terakru bagi pinjaman sewa beli atau keuntungan bagi pembiayaan Islam untuk tempoh moratorium enam bulan.

Saranan itu dibuat ke atas semua institusi terlibat kerana “terdapat kemungkinan ia dapat dilaksanakan” dan juga selepas mendengar keluhan rakyat, katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Pada masa sama, beliau mengakui tawaran untuk tidak mengenakan faedah terakru atau faedah dikompaun itu tidak melibatkan semua jenis pinjaman.

“Memang terdapat bank yang menawarkan moratorium pinjaman tanpa mengenakan faedah terakru atau faedah dikompaun atas pinjaman.

“Namun yang demikian, ia tidaklah merangkumi semua produk pinjaman. Setiap bank pula ambil pendekatan tersendiri dalam hal mengenakan faedah sewaktu tempoh moratorium,” katanya.

Bagaimanapun beliau tetap berharap institusi tersebut dapat memberi pertimbangan.

“Dalam keadaan ekonomi yang serba mencabar disebabkan oleh wabak Covid-19, saya amat berharap pandangan ini dapat diberi pertimbangan yang sewajarnya oleh BNM (Bank Negara) dan juga institusi kewangan dalam negara,” katanya.

Menurutnya usaha kini dilakukan untuk berbincang dengan bank bersama Bank Negara bagi menyelesaikannya.

Jelasnya, perbincangan itu dibuat kerana isu berkenaan di bawah kuasa Akta Bank Negara 2009.

Ia ekoran tindakan bank dan institusi kewangan yang tetap mengenakan faedah terakru dan keuntungan ke atas moratorium itu walaupun beliau memberi jaminan ia tidak akan dikenakan.

Zafrul ketika tampil dalam satu program bual bicara pada Mac di televisyen memberi jaminan, rakyat akan mendapat penjimatan kerana faedah terakru tidak akan dikenakan untuk tempoh moratorium.

Jaminan sama juga dinyatakan secara bersungguh-sunguh oleh Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali dalam program bual bicara penyiar kerajaan RTM.

Kenyataan berasingan oleh Bank Negara dan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) semalam bagaimanapun semalam memberi gambaran faedah terakru dan keuntungan itu akan tetap dikenakan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan moratorium itu sebagai langkah mengurangkan beban kewangan rakyat yang terjejas dengan kesan ekonomi akibat wabak Covid-19. – 2 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen