2 beranak warga Thailand maut dalam kebakaran 


DUA beranak warga Thailand maut dalam kebakaran di bangunan rumah kedai yang menjalankan perniagaan restoran masakan Thai di Jalan Air Itam, Datuk Keramat di George Town hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, Aishah Tok Pok Ku, 51, yang berada di ruang dapur dan sedang membuat persiapan bagi membuka restoran naik ke tingkat dua rumah kedai itu untuk menyelamatkan ibunya Minah Yahya, 80, namun kedua-duanya terperangkap di tangga ketika api sedang marak.

Pekerja restoran itu, Rohana Abdul Rahman, 33, yang juga warga Thailand berkata semasa kejadian beliau berada di bahagian dapur bersama Aishah yang merupakan tauke restoran tersebut telah ternampak percikan api di bahagian suis lampu di tingkat atas dan terus memaklumkan kepada Aishah.

“Tiba-tiba terus keluar api dari situ dan saya menjerit untuk beritahu Kak Sah (Aishah) dan dua lagi kawan yang tengah kerja di restoran…waktu tu Kak Sah terus naik atas untuk selamatkan maknya tapi saya pegang halang dia naik sebab api dah marak, dia tolak saya dan terus naik juga.

“Kami semua keluar dari kedai sebab api dah semakin marak tapi masa tu memang dok nampak Kak Sah tarik mak dia turun kat tangga, saya nampak ada kayu timpa depa (mereka) dan api pula makin besar.. saya minta tolong orang telefon bomba supaya dapat selamatkan Kak Sah dengan maknya,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran di George Town hari ini.

Rohana berkata Aishah telah menjalankan perniagaan restoran itu sejak empat tahun lepas dan dia memang membawa ibunya tinggal bersama kerana tiada siapa dapat menjaga warga emas tersebut di Pattani, Thailand, malah wanita tersebut juga tidak berapa sihat.

Katanya selain Minah, anak lelaki Aishah berusia 20-an turut tinggal bersamanya namun semasa kejadian dia berada di Pattani dan tidak dapat kembali semula ke sini berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selalunya mak Kak Sah akan duduk di bawah (ruang restoran) untuk membantu kami potong sayur atau buat kerja ringan, tapi hari ini dia beritahu nak naik berehat di atas.. dia cakap sakit pinggang jadi nak baring, Allah lebih sayangkan mereka,” katanya yang sedih dengan kejadian itu.

Menurutnya beliau telah menghubungi anak serta keluarga Aishah di Pattani dan mereka sangat sedih dengan kejadian menimpa dua beranak tersebut serta berharap jenazah kedua-duanya dapat dibawa pulang ke kampung halaman di sana.

“Tapi saya dimaklumkan, berikutan wabak Covid-19 ini jenazah mereka tidak boleh dibawa balik ke sana dan perlu dikebumikan di sini.. nampaknya apa yang Kak Sah selalu cakap iaitu mahu terus tinggal di sini termasuk tidak mahu balik sambut Hari Raya di sana (Pattani) menjadi kenyataan,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak A’zelan Hassan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.33 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi tujuh minit kemudian dengan api sedang marak di lokasi.

Katanya api dipercayai bermula di bahagian atas rumah kedai dua tingkat itu dan pihak bomba berjaya mengawal kebakaran pada 12.01 tengah hari daripada merebak ke kedai bersebelahan sebelum memadam api sepenuhnya setengah jam kemudian.

“Tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kedai bersebelahan dan selepas selesai memadam api, kami menemukan mayat dua beranak itu di tangga dipercayai mereka hendak turun menyelamatkan diri,” katanya.

Menurutnya pemeriksaan awal mendapati dua beranak itu melecur antara 10 hingga 20 peratus sahaja dan dipercayai mereka meninggal dunia disebabkan terhidu asap tebal namun mayat kedua-duanya telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

“Seramai 100 pegawai dan anggota bomba termasuk Pasukan Bomba Sukarela (PBS) bersama 12 jentera bomba terlibat dalam operasi memadam kebakaran tersebut, setakat ini punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Bernama, 1 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen