Mahkamah patut timbang hukuman alternatif kesalahan PKP, kata pesuruhjaya kehakiman


MAHKAMAH rendah perlu menimbang hukuman alternatif yang dibenarkan dalam undang-undang, kata Mahkamah Tinggi Taiping, dalam satu keputusan mengurangkan hukuman penjara yang dijatuhkan kepada dua pesalah yang melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pesuruhjaya Kehakiman Muniandy Kannyappan bagaimanapun mengingatkan hukuman itu hendaklah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

Beliau memberi peringatan itu dalam keputusannya mengurangkan hukuman ke atas Chin Chee Wei dan Chong Poh Wah, daripada penjara 3 bulan kerana gagal membayar denda kepada kerja khidmat masyarakat 4 jam sehari selama tiga bulan.

“Hakim mahkamah rendah wajar meneliti semua pilihan hukuman yang ada dalam sistem keadilan kita demi keadilan yang sewajarnya kepada tertuduh, yang mana jika tidak, akan menafikan hak mereka di bawah undang-undang,” katanya dalam penghakiman yang dikeluarkan semalam.

Memetik satu kes 1937, Muniandy berkata kemiskinan adalah salah satu faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum mahkamah mengenakan hukuman denda, yang jika tidak dapat dibayar akan menyebabkan tertuduh masuk penjara.

Muniandy mengurangkan hukuman ke atas Chin dan Chong pada 8 April lalu, selepas menggunakan kuasa yang ada padanya untuk memanggil kes itu bagi disemak rekodnya mengikut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah.

Chin, 45, dan Chong, 56, dihukum denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Sungai Siput selepas mengaku bersalah melanggar PKP pada 2 April dekat sebuah kolam ikan.

Mereka didakwa di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang melarang orang ramai bergerak kecuali atas urusan perlu.

Mereka yang bekerja membaiki rumah, dengan upah harian RM100 jika bekerja, memiih masuk penjara kerana tidak mampu membayar denda.

Mereka dilaporkan memberitahu majistret, sebelum hukuman dijatuhkan, bahawa mereka tidak lagi mempunyai pendapatan selepas PKP berjalan.

Mereka juga dilaporkan memberitahu mahkamah bahawa mereka keluar mencari ikan untuk dibuat makan, dan bukannya dijual.

Kes itu dilaporkan oleh media dan menarik perhatian Muniandy.

Pada masa sama, peguam Balakrishna Balaravi Pillai, yang ditugaskan oleh Biro Bantuan Guaman untuk mewakili mereka, turut mengemukakan rayuan untuk semakan hukuman.

Dalam penghakimannya, Muniandy berkata pada dasarnya kes disemak semula untuk melihat sama ada keadilan yang wajar telah diberikan kepada tertuduh dan apakah perlu ada campur tangan demi keadilan.

Beliau menggariskan pilihan hukuman yang ada, antara jaminan denda, dan merumuskan kedua-dua hukuman itu tidak setimpal dengan kesalahan. 

Muniandy juga berkata Chin dan Chong sudah menjalani hukuman penjara lapan hari dari tarikh ditahan sehingga kes itu disemak semula di Mahkamah Tinggi Taiping.

Chin dan Chong lalu diperintah untuk menjalani kerja khidmat masyarakat 4 jam sehari selama tiga bulan, dengan jaminan RM500 bagi memastikan mereka tidak ingkar.

Sementara itu, mereka diperintah melapor diri di balai polis Sungai Siput Utara seminggu sekali pada setiap Isnin.

“Mahkamah berpandangan (hukuman) ini menyeimbangi antara kepentingan awam yang hendak dilindungi oleh peraturan (PKP) dan kepentingan tertuduh,” kata Muniandy. – 30 April, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen