Fuziah Salleh mohon bicara kes sebar berita palsu


Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan membuat kenyataan yang boleh mencetuskan kegentaran awam menerusi Facebook pada 9 April lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2020.

AHLI Parlimen Kuantan Fuziah Salleh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tuduhan membuat kenyataan yang boleh mencetuskan kegentaran awam menerusi Facebook pada 9 April lalu.

Beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret R Salini.

Fuziah, 61, didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, lapor Sinar Harian.

Peguambela Fuziah, Hassan Karim dan John Fernandez bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan ikat jamin minimum.

Salini kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Jun.

Bekas timbalan menteri itu sebelum ini disiasat oleh polis berhubung penyebaran sebuah klip video yang didakwa kononnya rakyat Malaysia di Singapura merempuh kawalan pihak berkuasa imigresen di Tambak Johor untuk balik ke tanah air.

Klip video itu dipaparkan di akaun Facebook beliau ketika republik itu mula mengenakan kawalan pergerakan berkuat kuasa 7 April.

Rakaman itu bagaimanapun diturunkan beberapa jam kemudian dengan notis memohon maaf “tersilap” menaikkan sepotong rakaman video lama.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud dalam reaksi segera ketika itu berkata rakaman video berkenaan adalah suasana latihan kebakaran di Bangunan Sultan Iskandar, iaitu  kompleks imigresen, kastam dan kuarantin di Johor Bahru, pada 18 Disember 2019.

Semalam, Fuziah dalam satu kenyataan berkata beliau kesal sekiranya pertuduhan ke atasnya bermotifkan politik.

“Saya akan terus pertahankan kebenaran dan hak saya serta pasti bahawa yang hak itu akan terserlah jua,” katanya. – 29 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen