Rakyat disaran beli barang buatan Malaysia, bantu pulih ekonomi


Semua pihak berkaitan seperti agensi pemasaran disaran melakukan kempen beli barangan tempatan secara besar-besaran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2020.

RAKYAT Malaysia perlu melakukan perbelanjaan berhemah dengan mengutamakan barangan buatan negara ini sepanjang tempoh dan pasca perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membantu menggerakkan ekonomi domestik, menurut seorang ahli akademik. 

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu Dr Hazman Samsudin berkata dengan kaedah sedemikian, rakyat mampu menyelamatkan ekonomi negara ini daripada mengalami krisis. 

Katanya, perbelanjaan yang berhemah dengan menggunakan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) bukan sahaja bermaksud berbelanja tanpa pembaziran, ia juga merujuk kepada perbelanjaan yang mampu memberi kesan pengganda kepada ekonomi domestik. 

“Dengan membeli barangan buatan Malaysia, ia mampu memberi pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Bagi tujuan ini, jabatan kerajaan, agensi-agensi dan pihak-pihak berkaitan seperti agensi pemasaran yang berkaitan disaran untuk melakukan kempen beli barangan tempatan secara besar-besaran. 

“Kempen tersebut telah ada, namun tidak mencukupi. Logo pada barangan sangat kecil, promosi di papan tanda di jalan raya masih kurang, kempen di televisyen sangat terhad dan kempen di platform dalam talian sangat sukar dijumpai. Ia harus dilakukan dengan jelas dengan mesej yang tepat,” katanya hari ini.

Pada 27 Mac lepas, kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi BPN iaitu pemberian tunai secara one off dengan menyediakan peruntukan hampir RM10 bilion kepada golongan B40 dan M40 dan tidak lama kemudian  Pakej Prihatin Tambahan pula memberi penekanan terhadap rangsangan bahagian penawaran bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan tenaga kerja. 

Hazman berkata apa yang agak membimbangkan adalah risiko berlakunya ketirisan melalui pembelian barangan bukan buatan Malaysia kerana semasa tempoh PKP, ramai lebih cenderung membeli barangan secara dalam talian.

“Kebanyakan barangan dalam talian yang bersifat kehendak adalah barangan import ...ini akan menyebabkan wang disuntik keluar daripada aliran ekonomi domestik dan menjadikan matlamat BPN kurang berkesan. 

“Oleh itu, jadilah rakyat Malaysia yang bangga dengan barangan Malaysia kerana matlamat utama kita ialah mahu menggerakkan ekonomi domestik. Inilah peranan dan tanggungjawab yang boleh disumbangkan rakyat untuk negara,” katanya.

Tambahnya, industri yang sangat terkesan akibat PKP bagi mengekang penularan Covid-19  adalah seperti industri pembuatan termasuk pengangkutan, pembinaan, pelancongan dan rangkaiannya. 

“Apabila wabak Covid-19 ini tamat, berbelanjalah kepada sektor-sektor tersebut dan bawalah keluarga melancong dalam Malaysia. Pastinya banyak lagi tempat-tempat menarik yang belum dilawati. 

“Berilah peluang ekonomi kepada usahawan kecil seperti Makcik Kiah yang mengusahakan restoran, Pak Samad berniaga pakej inap desa, Mr Wong pengusaha barangan elektronik, Encik Anand kontraktor ubah suai rumah dan Encik Jamal yang bekerja sebagai pemandu pelancong bergaji hari,” katanya. – Bernama, 28 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen