Prosiding kes jenayah boleh diteruskan dengan akses terhad, kata peguam


Lanjutan PKP menyebabkan sebilangan tertuduh terpaksa berdepan ketidakadilan serius dan individu yang ditahan di bawah undang-undang pencegahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 April, 2020.

BAGI memastikan akses kepada keadilan berterusan semasa pelanjutan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), prosiding kes jenayah hendaklah diteruskan dengan akses terhad, kata golongan peguam.

Peguam terkenal N Sivananthan berkata pihak berkuasa harus membenarkan mahkamah jenayah beroperasi dengan hanya membenarkan pihak yang relevan seperti hakim, pendakwa, peguam dan tertuduh hadir.

“Mahkamah jenayah hendaklah dibenarkan berfungsi bukan hanya bagi perkara yang membabitkan permohonan reman, pertuduhan baharu, jaminan dan semakan… bagi perkara yang membabitkan rayuan dan permohonan pelbagai, tiada keperluan untuk orang lain hadir kecuali pendakwa, peguam dan tertuduh kerana kehadiran saksi tidak diperlukan. 

“Bagi permohonan habeas corpus membabitkan individu yang ditahan tanpa dibicarakan, kehadiran tertuduh dikecualikan jadi lebih sedikit pihak yang terlibat. Pengurusan kes di hadapan pendaftar dan hakim boleh dilakukan secara dalam talian untuk membantu mengurangkan jumlah kes di mahkamah,” katanya. 

Sebagai contoh, katanya ramai yang ditahan kerana disyaki menggunakan dadah dan kebanyakannya tidak dapat membayar ikat jamin, dan kes mereka ditangguhkan bagi tempoh yang lama kerana mereka tidak boleh membuat pengakuan bersalah memandangkan laporan kimia tidak boleh disediakan.

“Jadi, tarikh yang begitu lama ditetapkan oleh mahkamah dan mereka kemudian dihantar untuk direman yang menambahkan lagi kesesakan di penjara. Saya tidak nampak sebab mahkamah jenayah tidak boleh beroperasi semula dengan perancangan yang betul, dan saya yakin badan kehakiman lebih daripada mampu mengusahakan protokol konsisten sewajarnya dengan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan,” katanya.

Peguam itu berpendapat pelanjutan PKP mengakibatkan sebilangan tertuduh terpaksa berdepan dengan ketidakadilan yang serius (bagi kes tidak boleh dijamin) dan individu yang ditahan di bawah undang-undang pencegahan.

“Individu dalam kedua-dua kategori tidak boleh dibebaskan sehingga prosiding selesai di mahkamah dan dengan tidak membenarkan mahkamah jenayah beroperasi bermaksud kesemua individu ini tidak mempunyai remedi yang tersedia untuk mereka. 

“Bagaimanapun, mereka yang diikat jamin tidak berdepan prasangka yang nyata kerana kedudukan mereka pada asasnya adalah sama seperti orang lain. Justeru, pihak berkuasa harus membenarkan mahkamah beroperasi namun dengan akses terhad iaitu hanya kepada pihak yang terlibat dalam prosiding dan bukan orang lain,” katanya.

Berkongsi sentimen sama, peguam Nor Zabetha Muhammad Nor berkata pihak berkuasa mungkin boleh mempertimbangkan langkah alternatif dengan mewujudkan satu venue di dalam penjara yang berfungsi sebagai mahkamah dengan membenarkan timbalan pendakwa raya, majistret dan peguam menghadiri prosiding itu. 

Beliau berkata ini sekurang-kurangnya akan mengelak tahanan dari pelbagai penjara atau lokap dibawa ke mahkamah yang mungkin boleh mendatangkan risiko jangkitan Covid-19.

“Pada masa sama, ini mungkin mengurangkan kesesakan di penjara, dan bagi tertuduh yang ingin membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan, ia boleh membantu mereka mempercepatkan kes berbanding menunggu tarikh perbicaraan baharu selepas PKP berakhir, yang merupakan perkara belum pasti. 

“Mereka boleh membayar denda atau menjalani hukuman penjara berdasarkan keputusan mahkamah yang mungkin lebih pendek berbanding tempoh mereka ditahan sepanjang PKP,” kata Nor Zabetha.

Kebanyakan kes jenayah termasuk yang berprofil tinggi seperti perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor serta bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan pertuduhan rasuah.

Sementara itu, prosiding pengurusan kes seperti kes pelucuthakan membabitkan Jawatankuasa Perhubungan Umno Kedah dan Habib Jewels Sdn Bhd yang ditetapkan juga dikosongkan susulan pelanjutan PKP.

Jumaat lepas, badan kehakiman dalam satu kenyataan menyebut sepanjang pelanjutan tempoh PKP, pihak dalam kes sivil boleh memohon untuk perbicaraan dalam talian di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Tinggi Malaya, dan terdapat senarai prosiding tambahan membabitkan kes sivil yang boleh didengar secara dalam talian mulai 4 Mei.

Menurut kenyataan itu, kesemua prosiding membabitkan pendengaran rayuan interlokutari, permohonan interlokutari tidak dicabar, permohonan interlokutari dicabar yang ringkas dan rayuan kepada hakim dalam kamar berhubung keputusan timbalan pendaftar atau penolong kanan pendaftar. – Bernama, 27 April, 2020


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen