3 orang sahaja semasa lawat kawasan wakil rakyat, kata MKN


Anggota tentera sedang mengawal di sekitar kawasan Pasar Borng KL yang dikenakan PKPD. MKN hari ini mengeluarkan garis panduan kaedah pergerakan wakil rakyat semasa PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2020.

WAKIL rakyat digalakkan meninjau kawasan masing-masing tidak lebih daripada 10 minit sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP), menurut garis panduan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Lawatan juga terhad kepada tiga orang sahaja termasuk ahli Parlimen atau Adun, dan mesti hanya untuk meninjau keadaan atau menyampaikan bantuan kepada rakyat.

Selain itu, wakil rakyat juga dikehendaki mengekalkan penjarakan sosial, selain menjaga kebersihan diri.

Ahli Parlimen atau Adun juga dilarang memuat naik foto seperti majlis keramaian di media sosial yang boleh mencetus keresahan rakyat.

Garis panduan juga menyatakan wakil rakyat tidak dibenarkan mengadakan sidang media, temu ramah atau ucapan awam semasa membuat tinjauan.

Ia dilampirkan dalam surat dari Ketua Pengarah Keselamatan Negara MKN Mohd Rabin Basir kepada Ketua Pentadbir Parlimen Kamis Samin.

Dalam surat bertarikh 21 April itu, Rabin memberitahu Kamis untuk mengedarkan garis panduan tersebut kepada ahli Parlimen yang diberi kebenaran untuk membuat tinjauan di kawasan masing-masing.

Rabin berkata semua ahli Parlimen mesti mematuhi garis panduan semasa mengadakan tinjauan sepanjang PKP.

Walaupun garis panduan menyebut tempoh program lawatan ahli Parlimen atau Adun tidak boleh melebihi satu jam, tetapi mereka digalakkan menyelesaikan dalam tempoh 10 minit.

Bersentuhan atau bersalam juga tidak dibenarkan.

Selain tidak membenarkan sidang media atau ucapan awam, MKN juga melarang wakil rakyat memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) di semua lokasi.

Semua wakil rakyat juga tertakluk kepada syarat serta peraturan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan dan mematuhi garis panduan MKN. – 24 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen