Ujian saringan Covid-19 diambil kru penerbangan tidak ikut SOP, kata kesatuan


Nufam menulis surat kepada Kementerian Pengangkutan dan KKM serta MMKN untuk memastikan semua syarikat penerbangan mematuhi prosedur saringan Covid-19 untuk kakitangan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2020.

KESATUAN Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) mendesak Kementerian Kesihatan menyiasat aduan mengenai ujian saringan tidak mencukupi untuk kru yang bertugas.

Kesatuan itu berkata kru kabin hanya disaring selama 72 jam oleh syarikat penerbangan mereka, yang tidak menepati prosedur operasi standard kementerian berhubung saringan untuk kelayakan bekerja.

“Kami menerima banyak panggilan mengenai masalah saringan kru syarikat penerbangan,” kata Nufam dalam satu kenyataan.

“Jangan pandang ringan atau ambil jalan pintas kerana ini adalah masalah serius yang melibatkan nyawa pekerja.”

Kesatuan menulis surat kepada Kementerian Pengangkutan dan Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara untuk memastikan semua syarikat penerbangan mematuhi prosedur saringan Covid-19 untuk kakitangan mereka.

Nufam meminta pekerja syarikat penerbangan menjalani ujian sebelum mereka kembali bekerja selepas perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beberapa penerbangan dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak juga disambung minggu lalu selepas larangan awal di bawah PKP untuk mencegah penyebaran Covid-19.

“Yang penting semua pekerja harus diuji dan disaring dengan sempurna untuk memastikan mereka tidak mengalami sebarang gejala,” kata Nufam.

Kesatuan itu menambah kementerian berkaitan juga harus memeriksa syarikat penerbangan untuk membenarkan penerbangan penuh pada masa ini, yang bertentangan dengan garis panduan Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Ia berkata penumpang tidak boleh duduk berdekatan antara satu sama lain dan jarak sosial satu meter antara kakitangan harus diamalkan.

“Syarikat penerbangan tidak boleh mengambil jalan keluar mudah untuk beroperasi pada skala normal karena virus ini masih terus berkembang dan isu keselamatan pekerja tidak boleh dikompromikan.” – 23 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen