70% sumbangan Tabung Covid-19 diagih melalui JKM, kata menteri


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof berkata sumbangan yang diterima untuk Tabung Covid-19 turut diagihkan kepada waris pesakit yang meninggal dunia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2020.

SEBANYAK 70 peratus daripada sumbangan yang diterima untuk Tabung Covid-19 diagihkan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala selebihnya disimpan untuk membeli keperluan bagi membendung pandemik Covid-19. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Mohd Redzuan Md Yusof berkata sumbangan yang diterima untuk Tabung Covid-19  turut diagihkan kepada waris pesakit yang meninggal dunia. 

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) turut mengedarkan keperluan perlindungan Covid-19 kepada petugas barisan hadapan di hospital, pusat rawatan, pusat-pusat kuarantin dan jentera Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya lagi. 

Mohd Redzuan ditemui selepas menerima sumbangan daripada tiga syarikat untuk Tabung Covid-19 di Ibu Pejabat Nadma di Puyrajaya hari ini. 

Syarikat STS Port Sdn Bhd menyumbang wang tunai RM1 juta yang disampaikan oleh Pengerusi Eksekutifnya Shahrul Amirul Sivagnanam. 

Turut menyumbang wang tunai RM1 juta ialah LBS Bina Group Berhad. Replika cek disampaikan kepada Mohd Redzuan oleh Pengarah Urusannya, Lim Hock San dan Sin Hock Min Foundation yang menyumbang set peralatan perlindungan diri (PPE) bernilai RM600,000. 

Replika cek disampaikan oleh Timbalan Pengerusinya, Yong Mun Tong. 

Mengulas mengenai sumbangan yang diterima pada hari ini Mohd Redzuan berkata kerajaan menyambut baik dan berterima kasih atas peranan yang dimainkan oleh syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan dalam memenuhi tanggungjawab sosial korporat masing-masing.

Tabung Covid-19 dilancarkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada bulan lepas bagi memberi bantuan kewangan kepada mereka yang terjejas dengan penularan Covid-19.

Sehingga hari ini jumlah kutipan Tabung Covid-19 ialah RM30.9 juta. – Bernama, 22 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen