Ahli Parlimen BN Sabah desak polisi syarikat penerbangan tambang murah dipantau


Diyana Ibrahim

AHLI Parlimen Barisan Nasional Sabah hari ini di Parlimen mendesak Putrajaya supaya lebih tegas memantau polisi syarikat penerbangan tambang murah kerana didakwa tidak menyebelahi rakyat negeri itu .

Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin berkata syarikat penerbangan murah Air Asia, misalnya dikatakan langsung tidak bertolak ansur meminta penumpangnya membeli tiket baru walau hanya lewat 10 minit.

Bung berkata ia berbeza dengan polisi syarikat penerbangan tambah murah di luar negara yang akan membantu penumpang mereka terlepas penerbangan dengan memberi mereka tempat tanpa mengenakan caj dalam penerbangan baru.

“Tapi negara kita terutama Air Asia walau lambat 10 minit tapi Air Asia tolak penumpang suruh beli tiket. Perkara ini berlaku depan mata saya ramai penumpang menangis yang tidak mampu beli tiket menangis tak tahu mana nak cari duit nak beli tiket baru.

“Jadi kementerian harus lihat minta penerbangan murah ini buat cara penerbangan murah . Minta mereka belajar di Amerika Syarikat dan Eropah. Ini yang beli tiket ini orang kampung yang susah, nasib baik saya ada ketika itu saya bagi sikit kalau tidak saya tidak tahu mana mereka nak cari duit beli tiket,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 bagi Kementerian Pengangkutan.

Tambahnya, Air Asia sepatutnya perlu memahami kesukaran rakyat di Sabah yang memerlukan pengangkutan udara melalui program tanggungjawab korporat sosial (CSR) syarikat tersebut.

“CSR Air Asia memang kosong langsung tidak ada. Saya tidak tahu macam mana mereka boleh dapat penerbangan ‘Best In The World’ berturut-turut. Kalau saya, tidak akan langsung bagi markah sebab tidak nampak kelayakan begitu.”

Selain itu katanya, rakyat di negeri itu juga berdepan dengan pengurangan jadual penerbangan Kota Kinabalu ke Sandakan yang mana perkhidmatan tersebut ditawarkan oleh Maswings -anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines System.

“Sekarang penerbangan awal jam 8 pagi lepas lima jam baru ada balik penerbangan. Kalau dulu bila ada penerbangan pagi kemudian tengah hari sekarang tidak ada.

“Saya tidak tahu apa masalah Maswings ini dimana akal waras dia letak untuk lihat perkara ini supaya dijadualkan bukan ikut sedap angin dia tapi ikut keselasaan rakyat.

“Sebab Maswings orang kenal sebagai penerbangan dalam negara,tapi jarak penerbangan sangat lama. Saya tidak tahu bagaimana orang berniaga (berdepan masalah ini) mereka terpaksa berulang alik.”

Ahli Parlimen Putatan, Makin @Marcus Mojigoh kemudiannya bangkit mencelah menyokong gesaan Bung dengan mengakui  pernah berdepan dengan isu tersebut hingga menyebabkan beliau terpaksa bermalam di lapangan terbang.

“Saya ada pengalaman yang begitu pahit dalam penerbangan Kota Kinabalu ke Sandakan, menyebabkan saya terpaksa tidur satu malam jadi saya tidak berniat untuk memuji MAS,”

Bukan saja tempoh penerbangan dikurangkan, malah kata wakil rakyat Sabah itu rakyat di negeri itu yang menggunakan khidmat syarikat penerbangan berdepan dengan isu tempoh penerbangan tergendala.

“Kadang kala penerbangan selalu lambat. Saya tidak tahu apa masalah dia. Adakah kerana pesawat dia kurang baik atau tidak. Jadi saya amat setuju jadual penerbangan ditambah semula.” – 21 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen