Myanmar bebas 25,000 banduan elak penularan Covid-19


Pegawai penjara di Penjara Insein di Yangon, Myanmar. Hampir 25,000 banduan di Myanmar dibebaskan berikutan kebimbangan pelbagai pihak terhadap penularan wabak Covid-19 di negara itu. – Gambar AFP, 17 April, 2020.

HAMPIR 25,000 banduan di Myanmar dibebaskan, umum pejabat presiden hari ini, berikutan kebimbangan pelbagai pihak terhadap penularan wabak Covid-19 di negara itu.

Ini merupakan pembebasan baduan teramai menerusi proses pengampunan sempena sambutan Tahun Baharu di Myanmar.

Langkah kerajaan negara itu juga diambil ketika pemerintah di seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), sebahagian Eropah dan Colombia yang bergelut masalah sama seterusnya bimbang berlakunya wabak Covid-19 di penjara.

“Bersempena Tahun Baharu dan menghormati dasar kemanusiaan, Presiden (Win Myint) memberi pengampunan kepada 24,896 tahanan daripada pelbagai penjara,” menurut kenyataan pejabat presiden hari ini.

Myanmar setakat ini melaporkan 85 kes Covid-19, termasuk empat kematian. Bagaimanapun, pakar bimbang jumlah kes sebenarnya jauh lebih tinggi kerana jumlah yang diuji adalah rendah.

Negara yang sedang menjalani perintah berkurung itu menerima tekanan daripada Human Rights Watch (HRW) supaya membebaskan banduan, yang menurut kumpulan itu ditahan di `penjara yang sangat sesak dan tidak bersih’.

Kenyataan pejabat presiden juga menyebut seramai 87 banduan warga asing tersenarai dalam program pengampunan itu akan dihantar pulang. – AFP, 17 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen