Colombia bebas 4,000 banduan untuk kekang penyebaran koronavirus


Orang ramai melakukan protes di Bogota, Colombia, pada 15 April untuk mendesak kerajaan memberi bantuan makanan atau membenarkan mereka keluar bekerja selepas tempoh pengurungan dilanjutkan sehingga 26 April. – Gambar EPA, 16 April, 2020.

COLOMBIA pada Rabu mengarahkan pembebasan sementara lebih 4,000 banduan, dalam usaha untuk mengurangkan kepadatan di penjara dan mencegah penyebaran koronavirus.

Dua banduan meninggal dunia akibat Covid-19 di negara Amerika Selatan itu.

“Pembebasan ‘kemanusiaan’ bertujuan untuk memastikan ‘golongan paling mudah terjejas terhadap virus dapat keluar dari kurungan penjara dan menjalani tahanan rumah dan meningkatkan perlindungan kesihatan mereka’,” kata Presiden Ivan Duque di radio Colombia.

Antara tahanan yang mendapat kelebihan itu adalah mereka yang berumur lebih 60 tahun, tahanan yang menderita penyakit atau kurang upaya, mereka yang sudah menjalani sekurang-kurangnya 40% daripada hukuman mereka, ibu menyusukan anak dan yang lain dengan anak di bawah umur tiga tahun, kata Menteri Kehakiman Margarita Cabello.

“Ini adalah salah satu langkah yang kami guna pakai” untuk mengatasi wabak itu, kata Cabello, dan menambahkan jumlahnya mungkin meningkat.

Selepas enam bulan, banduan perlu kembali ke penjara untuk menjalani hukuman. Melanggar syarat tahanan rumah akan menyebabkan mereka dipenjarakan semula, kata menteri itu.

Keputusan kerajaan itu tidak terpakai bagi tahanan dalam kategori kumpulan bersenjata, atau mereka yang disabitkan dengan kesalahan mengedar dadah, jenayah seksual atau jenayah terhadap kemanusiaan.

Langkah itu dilakukan tiga minggu selepas rusuhan di sebuah penjara di Bogota menyebabkan 23 orang maut dan 91 cedera.

Colombia mencatatkan lebih 3,000 jangkitan koronavirus, termasuk 127 kematian. – AFP, 16 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen