Menteri, timbalan tahu surat kelulusan untuk kilang arak, lapor media


Timbalan Menteri KPDNHEP Rosol Wahid berkata kementeriannya tiada kuasa beri kebenaran kerana kuasa terletak pada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 April, 2020.

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi kebenaran kepada dua syarikat pengilang arak untuk mengedarkan stok sedia ada dan bukan untuk kilang mereka beroperasi, kata timbalan menterinya Rosol Wahid.

Pengecualian daripada perintah kawalan pergerakan (PKP) itu juga dalam pengetahuan menteri Alexander Nanta Linggi, katanya dipetik Harian Metro.

Rosol menafikan laporan beliau dan menteri tidak dimaklumkan mengenai pengecualian tersebut, yang diberikan kepada Heineken dan Carlsberg, atas permintaan pengilang. 

“Ada laporan mengatakan menteri dan saya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, itu tidak betul, kami tahu,” katanya, seperti dipetik Harian Metro.

Beliau juga berkata kementeriannya tiada kuasa untuk memberikan kebenaran operasi kerana kuasa itu terletak pada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Di bawah PKP yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, hanya sektor yang dikelaskan sebagai “perkhidmatan perlu” dibenarkan untuk terus beroperasi dan sesetengahnya dengan sekatan masa yang terhad.

Rosol turut dilapor menjelaskan kelulusan tersebut diberi selepas pengilang arak berkenaan memaklumkan kepada kementerian mereka menanggung kerugian kira-kira RM340 juta kerana stok itu tidak boleh diedar.

Kelmarin, tular di media sosial dua pucuk surat yang didakwa dikeluarkan oleh KPDNHEP yang memberi kebenaran kepada dua pengilang arak untuk terus beroperasi ketika PKP.Ia mencetuskan kontroversi setelah pelbagai pihak termasuk PAS, yang juga sebahagian daripada kerajaan, mendesak kelulusan itu dibatalkan kerana arak tidak boleh dianggap sebagai barangan perlu.

Menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob kemudian memaklumkan Jemaah Menteri membuat keputusan membatalkan kelulusan itu dalam mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

Dalam sidang media semalam juga, Ismail berkata keputusan sama ada mana-mana premis perniagaan, kilang dan sebagainya dibuka atau ditutup adalah tertakluk pada keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).– 7 April, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen