Annuar Musa kecam kilang arak dibenarkan sambung operasi


Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa kecam keputusan kerajaan membenarkan kilang arak Heineken sambung operasi ketika penguatkuasaan PKP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 April, 2020.

MENTERI Wilayah Persekutuan Annuar Musa mengecam keputusan kerajaan untuk membenarkan kilang arak Heineken Malaysia Berhad menyambung operasi secara terhad ketika penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Beliau berkata kelulusan yang diberikan oleh Kementerian Perdagangan Dalam  Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu bercanggah dengan persetujuan kerajaan berkenaan hal itu.

“Ini jelas tidak selari dengan yang sudah diputuskan.

“Tindakan perlu diambil segera,” katanya di Twitter.

Pandangannya itu turut dipersetujui ramai pengguna media sosial yang mempersoalkan pembukaan semula kilang arak berkenaan.

Putrajaya sebelum ini mengarahkan semua syarikat yang bukan memberikan perkhidmatan barangan asas ditutup sepanjang PKP yang berkuatkuasa hingga 14 April.

Bagaimanapun, semalam Heineken berkata ia menerima kelulusan daripada kerajaan untuk menyambung semula operasi secara terhad dengan jumlah pekerja yang minimum.

Heineken terdahulu pada 24 Mac menghentikan sementara semua operasi di kilangnya di Petaling Jaya selaras dengan PKP dan pekerjanya bekerja dari rumah hingga 31 Mac.

Dalam kenyataannya semalam, Heineken berkata ia akan memastikan pematuhan penuh terhadap syarat kerajaan dan garis panduan sepanjang tempoh PKP. – 6 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen