Dua bulan bertarung nyawa, mangsa pemandu mabuk meninggal dunia


SELEPAS hampir dua bulan bertarung nyawa, mangsa rempuhan kereta yang dipandu seorang lelaki dipercayai mabuk pada Februari lepas, menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi, Hospital Seberang Jaya  awal hari ini dan meninggalkan lima anaknya.

Zuriana Hasan, 36, meninggal dunia kira-kira 1 pagi selepas tenat sejak dua hari lepas, dan kemalangan yang berlaku pada 9 Feb itu turut meragut nyawa suaminya, Khairizul Mohamad Noor, 39.

“Mama mengalami kecederaan parah dalam kemalangan tu dan dia juga langsung tidak sedarkan diri iaitu koma selepas kejadian tersebut, kami setiap hari pergi melawatnya di hospital.

“Mama mula menunjukkan respons dengan gerakkan tangan atau kaki apabila dipanggil. Tapi dua hari lepas doktor telefon mak su ( Noorlyana, 25,) adik mama dan memaklumkan keadaannya yang tenat,” kata anak sulung pasangan itu, Nur Afni Nirwana,16, kepada pemberita selepas pengebumian jenazah ibunya di Tanah Perkuburan Islam Bagan Jermal hari ini.

Selain Nur Afni Nirwana, empat lagi anak pasangan itu ialah Nur Istna Nadira,14; Nur Erna Nabila,12 ; Nur Qurratu Ain, 7, dan Muhammad Khairi Zafran, setahun 11 bulan.

Nur Afni Nirwana berkata mereka lima beradik tinggal bersama datuk dan nenek serta berjanji  akan terus menjaga adik-adiknya dengan baik seperti yang dipesan arwah ayah dan ibunya sebelum mereka keluar semasa hari kejadian.

“Kami semua rindukan ayah dan mama tapi saya kena kuat demi adik-adik kerana saya tidak mahu mereka nampak saya sedih nanti mereka lagi sedih, kami dah berjanji akan tinggal bersama-sama walau susah atau senang. Alhamdulillah datuk, nenek dan ibu dan bapa saudara semuanya baik, mereka banyak bantu kami,” katanya pelajar tingkatan empat itu dengan penuh sebak.

Dia berharap individu yang melanggar motosikal ditunggangi ibu bapanya dalam kemalangan itu menerima hukuman yang setimpal.

Datuk lima beradik itu, Hasan Ishak, 67, yang berniaga gerai makanan berkata beliau selalu menasihatkan lima cucunya itu supaya sentiasa berdoa dan reda dengan segala yang terjadi.

“Semua lima cucu saya akan jaga walau apa pun terjadi, kalau saya atau isteri meninggal anak-anak saya akan jaga mereka. Saya tidak akan sesekali menyerahkan mereka kepada mana-mana pihak walau ada yang menawarkan untuk menjaga mereka,” katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu selama ini.  – Bernama, 5 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen