Kerajaan perlu tubuh Majlis Keselamatan Makanan Negara


PIHAK kerajaan harus dengan segera menubuhkan Majlis Keselamatan Makanan Negara bagi menangani isu makanan ketika wabak Covid-19.

Walaupun kita mempunyai Majlis Keselamatan Negara, kita memerlukan sebuah majlis yang khusus dalam menangani isu makanan kerana keadaan sekarang sesungguhnya tidak pernah berlaku.

Masalah banjir atau bencana alam seperti gempa bumi mungkin memberi impak kepada sesebuah negara atau benua tetapi wabak Covid-19 ini menyerang seluruh dunia.

Justeru itu, semua negara akan berhadapan dengan krisis bekalan makanan dan setiap negara akan menjaga kepentingan masing-masing.

Malaysia masih lagi mengimport 30% bekalan beras dan mengimport 70% bekalan daging. Tetapi dengan lumpuhnya seluruh dunia, dari mana kita akan mendapat bekalan makanan yang mencukupi?

Vietnam, sebagai contoh, sudah menghentikan eksport beras ke Malaysia, jadi apa yang akan terjadi sekiranya wabak ini berterusan?

Bukan tujuan saya untuk menakut-nakutkan tetapi negara sememangnya harus bersedia dan membuat persiapan yang rapi. Kerana isu ini bertaraf global, kerajaan harus mewujudkan Majlis Keselamatan Makanan Negara dan memanggil pakar-pakar yang berkaitan.

Saya yakin kita mempunyai pakar-pakar yang hebat untuk menyusun strategi bagi mengatasi masalah ini. – 4 April, 2020.

*Salahuddin Ayub adalah bekas menteri pertanian dan industri asas tani dan timbalan presiden Amanah.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen