Jika tidak tahu lebih baik diam


SELURUH dunia sedang menghadapi wabak Covid-19 yang mampu membunuh manusia. Wabak ini merebak dan menjangkiti manusia tidak kira tua atau muda, Muslim mahupun bukan Muslim.

Ketika pihak di barisan hadapan sedang bertungkus-lumus untuk mengubati dan menahan wabak ini daripada terus tersebar, datang agamawan perosak yang menghasut manusia untuk menjadi bodoh seperti mereka.

Agamawan ini menghasut manusia untuk rasa terancam dan mengecam apabila masjid dan surau terpaksa ditutup kerana wabak ini tular.

Mereka gagal memahami kesyumulan Islam itu sendiri. Mereka fikir islam itu tentang ibadah di masjid semata-mata, walhal Islam ini tentang seluruh hidup kita. Islam menyuruh untuk menjaga nyawa, tapi agamawan perosak ini tidak faham tentang kesyumulan islam.

Agamawan perosak ini juga mengatakan “mereka hanya takutkan Allah” sehingga tidak mahu mendengar arahan pemerintah.

Saya kira pemikiran sedangkal ini memang layak untuk agamawan perosak seperti mereka.

Jika kita kurung mereka bersama harimau, apa agaknya reaksi mereka yang berfikiran begini?

Wujud juga agamawan yang mendakwa mampu menangkap Covid-19 kemudian dimasukkan ke dalam botol. Ini perkara yang sangat lucu yang berlaku sepanjang penularan wabak ini.

Benar Covid-19 ini adalah makhluk halus yang sukar dilihat, tapi bukan seperti jin sifat mereka ini yang boleh ditangkap dan dimasukkan ke dalam botol. Agamawan perosak ini benar-benar merosak dan memalukan agama.

Di samping itu, ketika semua orang sedang cuba untuk melawan Covid-19 ini, wujud pula golongan yang cuba mengambil keuntungan dengan menjual hand sanitizer ruqyah dan menaikkan harga sehingga mampu mencecah RM85 untuk 600ml. Kita pun tidak faham perosak seperti ini.

Apa yang lebih menyedihkan lagi adalah wujud pula agamawan yang mengatakan orang yang positif Covid-19 ini adalah golongan yang banyak bermaksiat. Sedangkan jelas dalam hadis ada bercerita tentang orang yang mati kerana wabak adalah mati syahid. Kenyataan ini juga dikeluarkan oleh pihak Mufti Wilayah.

Ini menunjukkan ada golongan agamawan yang tidak memahami kesyumulan agama dan suka menghukum manusia.

Kegagalan agamawan untuk memahami kesyumulan Islam akan merosakkan masyarakat untuk memahami kesyumulan Islam itu sendiri. Hasan Al Banna ada menyebut tentang kesyumulan Islam dalam Risalah Taalim:

“Islam adalah sistem lengkap yang merangkumi keseluruhan aspek kehidupan. Islam adalah daulah dan tanah air atau kerajaan dan ummah. Akhlak dan kekuatan atau rahmat dan keadilan. Kebudayaan dan undang-undang atau ilmu dan kehakiman. Kebendaan dan harta atau usaha dan kekayaan. Jihad dan dakwah atau tentera dan fikrah. Sebagaimana Islam itu adalah aqidah yang benar dan ibadah yang sahih.”

Bukankah lebih baik agamawan ini mengunakan publisiti mereka untuk membantu golongan yang dalam kesusahan akibat Covid-19 ini. Bukankah ini juga akhlak islam?

Data menunjukkan peningkatan peratusan orang yang menghubungi Talian Kasih ketika perintah kawalan pergerakan (PKP). Alangkah baik jika agamawan membantu untuk mencari penyelesaian kepada masalah ini kerana ramai isteri dan anak-anak yang didera bahkan mungkin ada yang dirogol.

Apa peranan agamawan? Bukankah Islam menyuruh untuk menjaga wanita dan anak-anak?

Masyarakat kita sudah cukup sakit, usah ditambah kesakitan mereka.

Jika tidak tahu, alangkah baiknya diam.

Siapa lagi yang mampu merosakkan agama ini, kalau bukan agamawan? – 4 April, 2020.

* Irham Masiri ialah penyelidik di Strategic Research Team of Harmoni.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen