Mampukah China selamatkan dunia?


KETIKA rencana ini ditulis, China telahpun membendung pandemik Covid-19 ini daripada terus menular di Wuhan, malah di negara itu sendiri secara keseluruhannya.

Ini satu pencapaian yang agak memberangsangkan bagi negara yang mempunyai kepadatan penduduk seramai 1.3 bilion orang, yang memulakan perintah berkurung di Wuhan, sebuah bandar di wilayah Hubei.

China harus dipuji atas pencapaian ini. Tetapi pujian diberikan atas kajian dan pelaksanaan yang teliti dalam membendung wabak ini. Dalam erti kata lain, terdapat kekurangan dalam respons yang dibuat oleh China sebelum ini, dan kekurangan ini perlu ditekankan.

Dengan cara ini, kita boleh mengetahui sejauh mana China boleh menyelamatkan dunia, atau tidak, termasuk Malaysia, memandangkan China sedang melaksanakan diplomasi kesihatan global – dengan cita-cita yang agak tinggi – bagi membantu negara lain untuk “meratakan lengkungan”.

Pertama sekali, China telah melakukan dengan baik untuk mengkuarantin rakyatnya bermula 23 Januari hingga hujung Mac lalu.

Namun harus diingat bahawa hanya daerah Wuhan sahaja yang menjalani perintah berkurung dahulu, dan kemudiannya diikuti oleh wilayah lain, bukannya dilakukan secara serentak di seluruh China. 

Secara ringkasnya, perintah berkurung sangat berkesan apabila dilakukan di daerah yang terdapat wabak Covid-19 ini sahaja dahulu, bukannya seluruh negara. 

China sepatutnya menerangkan hal ini kepada negara-negara lain: mulakan dengan daerah yang terlibat, bukannya terus dilaksanakan di seluruh negara secara serentak. 

Dengan tidak memahami pendekatan yang dilakukan oleh China, terdapat negara yang angkuh terus melaksanakan perintah berkurung di seluruh negara dengan terburu-buru sambil mengatakan mengambil China sebagai contoh – dengan tidak memahaminya terlebih terdahulu. 

Hasilnya, mereka hilang arah. Pengajaran daripada China juga hilang, dan terus terjunam ke lembah kegelapan. 

Kedua, China dengan pantas membidas teori konspirasi bahawa Covid-19 merupakan senjata biologi untuk menyerang pengaruh ekonomi China yang semakin meningkat. 

Teori konspirasi yang boleh dipercayai, walaupun sangsi pada masa yang sama. 

Jika Covid-19 dicipta oleh negara Barat, tidak mungkin negara Barat terkena jangkitan sama. Tidak mungkin. 

Covid-19 kini telah menyerang Amerika Syarikat dan anggota Kesatuan Eropah (EU) terutamanya Sepanyol dan Itali, termasuk United Kingdom dan Perancis yang terjejas teruk. 

China boleh menyelamatkan dunia jika pemimpin di Beijing fokus untuk menyelesaikan masalah Covid-19 ini, yang sekarang sudah merebak di seluruh dunia, daripada fokus menjelaskan kepada rakyat mereka mengenai mengapa negara barat hendak melakukan hal sedemikian terhadap China. 

Setakat hari ini, walaupun media sosial China tidak berhenti memberi spekulasi mengenai perang biologi dari Barat, namun pemimpin China tidak terlibat dengan spekulasi tersebut.

Ketiga, China telahpun mengeluarkan genom—genetik lengkap – Covid-19 seawal minggu ketiga bulan Januari untuk membolehkan para saintis dari seluruh dunia mempelajari genom SARS Cov II, virus yang mencetuskan Covid-19. 

Entah bagaimana, komunikasi antara saintis dan pembuat dasar di Barat terputus, dan Barat dilihat sengaja melambatkan hal ini.

Walau bagaimanapun, setelah memuji China, adalah penting untuk mengetahui bahawa China tidak memberitahu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai sifat serius virus daripada Wuhan ini pada awal penularannya.

Apabila dilihat balik sejarah permulaan pandemik ini pada tahun 2020, ramai orang tertanya-tanya mengapa China tidak memberi amaran kepada dunia mengenai bahaya yang dibawa oleh wabak ini seawal bulan November 2019?

Jika China membenarkan Taiwan untuk bersuara, sama ada kepada WHO atau Hong Kong, di mana kedua-duanya mempunyai pengalaman melihat keseriusan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2002, sudah tentu satu dunia akan mengetahui dengan lebih awal dan mengambil serius dengan masalah ini. 

Terutamanya jika Dr Helen Chan, bekas ketua pengarah WHO, yang telah mengendalikan SARS dengan jayanya, dibenarkan menjadi orang yang paling utama untuk membicarakan wabak yang merbahaya ini. 

Namun sehingga ke hari ini, Dr Helen Chan, yang telah bersara dari WHO, hanya mendiamkan diri. Beliau tidak menjelaskan mengapa wabak ini tidak diberikan perhatian sebelum ini kepada rakan-rakan perubatannya di seluruh dunia.

Tambahan pula, beberapa kit ujian yang dihantar oleh China ke EU, atau yang diimport oleh pelbagai negara, tidak dibawa masuk oleh pihak berkuasa China itu sendiri. 

Malah, menurut Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Noor Hisham, kit ujian yang ditawarkan oleh China ke Malaysia juga tidak boleh dipercayai, sehingga memaksa KKM membuat rundingan dengan Korea Selatan untuk membawa masuk kit ujian tersebut.

China boleh menyelamatkan dunia jika China tidak hanya melakukan pendekatan altruistik dengan menghantar pakar perubatan barisan hadapan mereka ke luar negara, namun perlu juga melakukan audit yang serius terhadap kekurangan mereka sendiri. 

Dalam erti kata lain, mencari “kebenaran daripada fakta”, seperti yang disebut oleh pemimpin Paramount China, mendiang Deng Xiao Ping. Covid-19 menyerang dunia, namun dunia masih lagi dalam keadaan penafian, penipuan, dan penuh helah. 

Terdapat negara yang enggan untuk mengesan, menguji dan merawat secara agresif, seperti Malaysia, untuk membendung Covid-19 ini. 

Dengan kekurangan fakta yang betul, bermula dengan China, akan membawa kepada defisit data yang teruk untuk memahami rawatan saintifik terbaik yang boleh digunakan.

China juga boleh menyelamatkan dunia dengan menjelaskan mengapa mereka menutup sempadannya ke seluruh dunia, namun meminta beberapa negara supaya sempadan mereka terus dibuka? 

Seperti mendesak Vietnam, Korea Selatan dan Kemboja, pada satu ketika, untuk mengekalkan perniagaan mereka seperti biasa. Hanya baru-baru ini China menggalakkan negara-negara lain untuk menjalankan perintah berkurung di negara masing-masing untuk menghentikan penyebaran wabak Covid-19.

China boleh menyelamatkan dunia, seperti mereka menyelamatkan diri mereka sendiri, dengan melihat balik, secara terperinci dan saintifik, bagaimana pandemik ini bermula dan dengan cepat menular ke seluruh dunia dalam masa kurang daripada dua ke tiga bulan. 

Negara Barat dan seluruh Asia juga perlu melakukan hal sama secara jujur. Jika tidak, mereka akan terkubur apabila pandemik ini bertukar menjadi endemik – penyakit yang akan sentiasa muncul. 

China boleh menyelamatkan dunia, dengan memberi satu contoh baik serta mewujudkan masa yang saintifik kes pertama mereka, di mana beberapa doktor mereka telah menerbitkan jurnal perubatan di sana. 

Tetapi, kenapa mereka membenarkan saintis mereka untuk memberi amaran kepada rakan saintis yang lain di seluruh dunia, dan bukan kepada pemimpin mereka sendiri?

Sementara itu, sehingga semalam, di peringkat global, jumlah pesakit terus meningkat; 1,098,762 kes positif dengan laporan 59,172 jumlah kematian. 

Di Malaysia, kes positif telah mencapai angka 3,333 dengan 53 kematian. 

Yang membimbangkan, beberapa pakar telah meramalkan bahawa penyebaran ini akan menjadi puncak pada pertengahan April 2020, hari terakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua di Malaysia. 

Adakah kita akan melihat lanjutan ketiga PKP untuk memutuskan rantaian penyebaran ini?– 4 April, 2020.

*Dr. Rais Hussin adalah presiden & CEO EMIR Research.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen