DR Nungsari Ahmad Radhi mengesahkan telah meletak jawatan selaku pengerusi Khazanah Research Institute.
Beliau mengesahkan laporan media itu ketika dihubungi The Malaysian Insight, Nungsari berkata tindakan itu diambil selepas penaja badan bukan kerajaan itu sudah hilang percaya dengan kepimpinannya.
KRI ditaja oleh dana kekayaan negara, Khazanah Nasional Bhd.
“Satu-satunya penaja institut ini sudah tidak yakin dengan saya untuk memimpinnya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Bagaimanapun, Nungsari berkata setakat sekarang beliau masih lagi pengerusi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom). Beliau dilantik ke jawatan itu pada 2018, selepas Pakatan Harapan berkuasa.
Laporan media sebelum ini yang memetik sumber melaporkan yang perletakan jawatan Nungsari akan berkuat kuasa pada Selasa.
Bekas ahli Parlimen Balik Pulau itu mula bersama KRI sebagai pemegang amanah sejak ia diasaskan pada 2013.
KRI menjalankan kajian mengenai isu mendesak dihadapi negara.
Pengunduran Nungsari berlaku ketika Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dinamakan sebagai pengerusi baharu Khazanah menggantikan Dr Mahathir Mohamad yang meletak jawatan pada 25 Mac lalu.
Turut dilantik sebagai ahli lembaga Khazanah ialah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Mohammed Azlan Hashim, bekas pengarah di Khazanah. – 4 April, 2020.
Komen