Menjamin data Internet percuma untuk semua


MALAYSIA telah memasuki fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19. Perdana Menteri juga telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion untuk membantu mereka yang terkesan.

Beliau juga mengumumkan pemberian data internet percuma kepada para pengguna jalur lebar mudah alih, memandangkan tempoh PKP telah dilanjutkan hingga 14 April daripada jadual asal pada 31 Mac 2020.

Kita berada di era telefon pintar dengan capaian internet yang lebih baik berbanding dahulu. Penetrasi servis perkhidmatan jalur lebar mudah alih (mobile broadband) telah mencapai 113% pada tahun 2018.

Penggunaan telefon pintar untuk melayari Internet bagi pelbagai tujuan sebagainya bukanlah sesuatu yang asing bagi rakyat Malaysia. Perkhidmatan langganan video atas talian seperti Netflix dan Iflix yang mempunyai ratusan drama bersiri, filem dan rancangan hiburan juga mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

PKP dan ‘duduk di rumah’ akan meningkatkan penggunaan internet sama ada untuk berinteraksi, bekerja dari rumah, menonton hiburan dan sebagainya. Maka, pemberian data internet percuma kepada para pengguna jalur lebar mudah alih sangat relevan ketika tempoh PKP ini.

Data percuma perlu memenuhi keperluan pengguna

Syarikat-syarikat telekomunikasi tempatan telah mula memberi data percuma sebelum pemberian data percuma oleh kerajaan diumumkan lagi. Namun begitu, jumlahnya tidak seragam – ada pelanggan sebuah syarikat dapat menikmati lebih banyak data berbanding pelanggan syarikat yang lain.

Data percuma daripada syarikat telekomunikasi itu juga tertakluk kepada terma-terma tertentu. Seperti contoh, data percuma hanya boleh diguna pakai ketika waktu tertentu sahaja, penggunaan data juga terhad untuk aplikasi tertentu, data percuma berbeza mengikut pakej-pakej yang berlainan serta data percuma khusus untuk kegunaan aplikasi pejabat yang mungkin tidak memerlukan data yang banyak.

Jika diteliti, data 1GB percuma setiap hari yang diberikan oleh kerajaan juga tertakluk kepada had masa tertentu, iaitu hanya boleh digunakan ketika jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang.

Hal-hal sebegini secara langsung telah menyebabkan tidak semua pengguna jalur lebar mendapat manfaat data percuma sepenuhnya.

Bayangkan semasa tempoh ini, ada ibu bapa yang menjaga anak-anak di siang hari dan hanya ada masa untuk menyiapkan kerja-kerja pejabat ketika malam hari setelah anak-anak lena.

Mungkin ada juga pengguna yang merupakan pelajar sekolah dan penuntut kolej atau universiti yang mengulangkaji pelajaran di luar waktu malam.

Malangnya data percuma hanya terhad ketika siang hari. Jika ulangkaji pelajaran, kelas atas talian, dan bekerja dari rumah boleh dilakukan tidak kira masa, maka akses kepada data percuma tidak perlu dihadkan untuk tempoh tertentu.

Sesetengah pelajar juga mungkin memerlukan data lebih banyak bagi tujuan melayari kelas atas talian atau menonton video-video tutorial. Tambahan lagi, menonton dan muat turun video serta menonton televisyen dalam talian merupakan antara aktiviti atas talian yang popular dan meningkat semasa tempoh PKP. Maka, kuota data percuma juga wajar diberikan untuk penggunaan aktiviti tersebut.

Pemberian data internet percuma terutamanya untuk melayari video juga amat relevan kepada isi rumah yang terhad kepada ruangan fizikal di rumah mereka. Jika rumah mereka kecil dan ahli isi rumah pula ramai, tidak banyak aktiviti mereka boleh lakukan kerana kepadapatan ruang. Sudah tentu aktiviti di atas talian menjadi pilihan untuk memenuhi masa mereka.

Tidak dilupakan bahawa terdapat lebih 4,000 warga Malaysia yang masih terkandas di luar negara. Data perantauan (roaming) untuk mereka wajar dibekalkan, setidak-tidaknya agar mereka boleh terus berkomunikasi dengan ahli keluarga dan mendapat maklumat terkini mengenai keadaan di Malaysia.

Kualiti kelajuan internet mencabar sabar

Peningkatan penggunaan internet pada satu-satu masa akan mengakibatkan masalah trafik di talian dan seterusnya menjejaskan kelajuan muat turun data. Ini dapat dilihat apabila terdapatnya penurunan purata kelajuan muat turun bagi jalur lebar mudah alih di Malaysia semasa tempoh PKP berbanding sebelumnya.

Menurut Ookla, kelajuan muat turun purata adalah melebih 20Mbps bagi tempoh 9 hingga 15 Mac 2020, kemudian menurun bawah 20Mbps untuk tempoh 16 hingga 22 Mac 2020.

Semasa pengumuman pakej Prihatin, kita juga dimaklumkan bahawa terdapat komitmen pelaburan bernilai RM 400 juta untuk menaik taraf kualiti kelajuan internet. Namun, tiada jaminan bahawa kualiti kelajuan tidak akan terganggu sepanjang tempoh PKP.

Isu kualiti kelajuan internet di Malaysia bukanlah bermula di saat wabak Covid-19 ini menular. Pada tahun 2018, kelajuan muat turun jaringan 4G di Malaysia dilaporkan berada pada kedudukan 20 terendah di dunia.

Pada tahun 2019, Opensignal melaporkan bahawa kelajuan muat turun data melalui jalur lebar mudah alih berada pada julat 5.4 Mbps hingga 17.7 Mbps sahaja. 

Walaupun ada sesetengah syarikat telekomunikasi yang memasarkan  kelajuan jalur lebar mereka boleh mencecah 100 Mbps dengan jaringan 4G, itu hanyalah indah khabar dari rupa.

Hakikatnya kelajuan itu tidak dinikmati oleh para pengguna.

Biarpun hampir 90% pengguna jalur lebar mudah alih di Malaysia boleh mendapatkan jaringan 4G, namun kualitinya masih rendah. Menurut sebuah laporan akhbar, hal ni disebabkan kelemahan infrastruktur apabila hanya 40% daripada menara pencawang adalah bergentian optik.

Kesimpulan

Krisis wabak Covid-19 ini membuka peluang untuk negara ini menilai semula peranan kerajaan dan sektor perniagaan bagi menjamin kesejahteraan masyarakat di dalam pelbagai apek termasuklah kualiti perkhidmatan jalur lebar.

Seperti juga perkhidmatan utiliti yang lain, penggunaan data internet bagi jalur lebar mudah alih akan meningkat semasa tempoh kawalan pergerakan.

Tidak dinafikan bahawa pemberian data internet sangat relevan tetapi perlu memenuhi corak dan keperluan penggunaan setiap para pelanggan.

Usaha untuk memantapkan lagi kualiti perkhidmatan jalur lebar harus dipercepatkan terutamanya di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesinambungan selepas krisis Covid-19 ini reda. Ini bagi memastikan rakyat Malaysia masih boleh menikmati kualiti kelajuan internet yang memuaskan semasa tempoh-tempoh kritikal seperti hari ini pada masa akan datang. – 3 April, 2020.


* Muhammad Nazhan Kamaruzuki, penyelidik di Khazanah Research Institute (KRI). Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi KRI.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen