Prosiding reman di balai polis sepanjang PKP


Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat bersetuju dengan permohonan Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor untuk menjalankan prosiding reman di balai polis di seluruh negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 April, 2020.

PROSIDING bagi permohonan reman semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diadakan di balai polis dan bukan di mahkamah.

Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dalam sepucuk surat kepada Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor berkata Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat telah bersetuju dengan permintaan Mazlan untuk menjalankan prosiding reman di balai polis di seluruh negara.

Surat yang sempat dilihat oleh pihak media itu menyebut bahawa mahkamah perlu diberikan notis awal bagi memastikan keselamatan kakitangan dan pegawainya serta peguam adalah terjamin.

Ia turut menyatakan bahawa hak suspek untuk diwakili peguam semasa prosiding itu tidak boleh dinafikan.

Surat itu juga menyebut bahawa garis panduan berkaitan Covid-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia dari semasa ke semasa hendaklah dipatuhi.

Terdahulu, Mazlan telah menulis kepada Terriruddin hari ini untuk meminta bantuan badan kehakiman agar suspek tidak perlu dibawa ke mahkamah sebaliknya majistret dan pendaftar mahkamah dihantar ke balai polis untuk menjalankan prosiding reman sepanjang tempoh PKP.

Biasanya polis akan membawa suspek ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman sehingga 14 hari bagi membantu siasatan. – Bernama, 1 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen